Kemalangan maut di Jelapang: Salah alamat punca ambulans lewat sampai

Iklan
Seorang kanak-kanak perempuan tiga tahun dilaporkan maut apabila kereta dipandu ibunya bertembung kereta peronda polis di Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Puncak Jelapang pada 10 Februari lalu.

IPOH - Kelewatan ambulans tiba di lokasi kejadian kemalangan maut di Jelapang pada 10 Februari lepas adalah disebabkan oleh alamat lokasi tidak tepat.

Jabatan Kesihatan Negeri Perak (JKNP) dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook memaklumkan lokasi awal kejadian yang dilaporkan adalah di kawasan taman perumahan sekitar Puncak Jelapang iaitu lapan kilometer dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Iklan
Iklan

Menurut jabatan itu, setelah tiba di lokasi pertama dan mendapati tiada kejadian seperti yang dilaporkan, pengesahan lokasi dilakukan menerusi panggilan kepada pemanggil dan pihaknya mendapati lokasi sebenar adalah di kawasan Lebuhraya Ipoh-Lumut menghala ke Jelapang.

"Semakan melalui Pusat Koordinasi Perubatan Kecemasan (MECC) mendapati satu panggilan kecemasan telah diterima berkaitan kemalangan tersebut dan tindakan mengikut protokol bantuan kecemasan telah dilaksanakan.

Iklan

"Laporan daripada Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh mendapati bahawa sebuah ambulans telah digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 3.05 petang," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan setibanya ambulans di lokasi kejadian sebenar pada jam 3.55 petang, penilaian keadaan semasa mangsa berusia 33 tahun dan seorang kanak-kanak berusia 3 tahun telah dilakukan mengikut protokol bantuan kecemasan oleh pegawai perubatan.

Iklan

"Mangsa wanita didapati mengalami kecederaan serius manakala mangsa kanak-kanak didapati tidak sedarkan diri dan telah diberikan bantuan resusitasi di lokasi kejadian serta-merta.

"Kedua-dua mangsa telah dibawa menggunakan ambulans dan kanak-kanak berkenaan turut diberikan tindakan resusitasi aktif sepanjang perjalanan ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HRPB," menurut kenyataan tersebut.

Sebelum ini, seorang kanak-kanak perempuan tiga tahun dilaporkan maut apabila kereta dipandu ibunya bertembung kereta peronda polis di lokasi tersebut pada jam 3.35 petang, 10 Februari.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad memaklumkan kemalangan itu turut melibatkan dua anggota polis masing-masing berusia 42 dan 48 tahun yang mengalami kecederaan kaki, patah bahu kiri serta luka kelopak mata.

Menurut siasatan, kereta peronda polis jenis Honda Civic dalam perjalanan dari Lumut ke Jelapang manakala wanita yang memandu Perodua Kelisa di laluan bertentangan dipercayai hilang kawalan secara tiba-tiba dan memasuki laluan kenderaan polis. - Bernama