LAYAK ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia buat kali pertama dalam sejarah penubuhan kelab bukan tiket buat Kuching City FC untuk meninggi diri.
Sebaliknya, pasukan berpangkalan di Borneo itu melihat pencapaian tersebut sebagai langkah ke arah mencipta lebih banyak kejayaan dalam Piala Malaysia yang mempunyai reputasi amat tinggi sebagai kejohanan bola sepak tertua di Asia.
Bagi pengendali The Cats, Aidil Sharin Sahak kemaraan anak buahnya ke kelompok empat terbaik tidak boleh diraikan secara berlebih-lebihan kerana sedar cabaran yang menanti di peringkat seterusnya.
"Kami melakukan apa yang belum pernah berlaku sebelum ini tetapi kami perlu realistik dan fokus satu perlawanan pada satu-satu masa.
"Apatah lagi lawan yang menanti kami di separuh akhir bukan calang-calang pasukan.
"Selangor FC adalah sebuah pasukan besar dan bukan mudah menentang mereka terutama di Stadium MBPJ," katanya selepas perlawanan.
Dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Negeri, Petra Jaya pada Sabtu malam, Kuching City mencatat kemenangan 3-1 ke atas PDRM FC, sekali gus mara bergaya 6-2 secara agregat.
Dua jaringan oleh Ronald Ngah Wanja meletakkan tuan rumah di landasan selesa sebelum pemain gantian, Gabriel Palmero menambah gol ketiga pada penampilan sulungnya.
Jaringan tersebut boleh dianggap suntikan motivasi buat bekas tonggak CD Tenerife itu yang sebelum ini kariernya umpama telur di hujung tanduk selepas terpalit dengan skandal pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Mengulas persembahan Palmero, Aidil memuji sumbangan pemain kelahiran La palma, Sepanyol itu namun enggan meletakkan tekanan dan jangkaan terlalu tinggi lebih-lebih lagi pertahanan Harimau Malaya itu tidak beraksi secara kompetitif selama empat bulan.
“Kita boleh nampak Gabriel bermain dengan baik malam ini. Jangan lupa beliau mendapat sokongan para pemain. Sudah tentu beliau akan banyak menyumbang.
“Tetapi kita jangan letak terlalu banyak tekanan ke atas beliau kerana beliau tidak bermain empat bulan dan sudah tentu ia mengganggu tahap kecergasannya.
“Apa pun, ia satu permulaan yang baik dan Gabriel mempamerkan prestasi bagus. Harapnya, beliau akan terus menyumbang kepada Kuching City,” katanya.
Sebagai rekod, Palmero antara rekrut baharu Kuching City dalam jendela kedua perpindahan Liga Super.
Selain Palmero, The Cats turut merekrut Ahmed Israiwah, Jerome Mpacko Etame dan Ariff Farhan Md Isa.