Dua beradik, bapa saudara maut, waris mohon bantu cari saksi nahas

Iklan
Seorang daripada mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

BAGAN DATUK - [DIKEMAS KINI] Dua beradik maut selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 25 Batu 16 Hutan Melintang-Bagan Datuk dekat Sungai Sumun di sini pada Sabtu.

Mangsa, Muhammad Adam Rifqi Mohd Fairuz, 12, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sementara adik perempuannya, Nur Aadimiyya Rifqina, 6, menghembuskan nafas terakhir di Klinik Kesihatan Sungai Sumun.

Iklan
Iklan

Kejadian sekitar jam 2.30 petang itu turut mengorbankan bapa saudara mereka, Muhammad Nashrul Zainal Anuar, 26, yang memandu kereta.

Tiga lagi ahli keluarga termasuk bayi perempuan berusia enam bulan yang berada dalam kenderaan sama masing-masing mengalami kecederaan parah.

Iklan

Difahamkan, semasa kejadian, kereta jenis Kia membawa enam sekeluarga itu dalam perjalanan pulang ke kampung di Bagan Datuk.

Seorang waris keluarga, Nur Ain Ahmad Zamri, 28, merayu agar mana-mana individu yang berada di lokasi kejadian tampil membantu siasatan.

Iklan

Pihaknya juga memohon bantuan sekiranya terdapat mana-mana pengguna kenderaan yang mempunyai video rakaman daripada kamera papan pemuka (dashcam) berkaitan kemalangan tersebut.

"Saya mohon mana-mana individu atau saksi yang berada di lokasi kejadian untuk kongsikan apa-apa maklumat atau jika ada rakaman video dashcam, salurkan segera ke Balai Polis Hutan Melintang.

"Sejak semalam tiada pihak tampil memaklumkan kejadian sebenar. Kami hanya dengar cakap-cakap orang dan tidak pasti mana satu yang betul," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bagan Datuk, Superintenden Mohammad Ali Mohd Jali berkata, enam sekeluarga terlibat dikenal pasti sebagai sepasang suami isteri dan empat anak saudara mereka.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, lori dipandu seorang wanita berusia 41 tahun hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta dinaiki enam sekeluarga itu.

"Pelanggaran mengakibatkan pemandu dan dua penumpang kereta meninggal dunia dengan seorang daripada disahkan maut di lokasi kejadian.

"Dua lagi mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital," katanya.

Beliau berkata, kejadian turut mengakibatkan tiga lagi ahli keluarga iaitu wanita berusia 24 tahun, seorang remaja perempuan berusia 13 tahun dan bayi perempuan berusia enam bulan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta perut.

"Kesemua mangsa yang cedera sedang menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.

"Dalam kejadian ini, pemandu lori mengalami kecederaan ringan dan turut mendapatkan rawatan di hospital sama," katanya.

Mohammad Ali berkata, kedua-dua kenderaan yang terlibat telah ditahan bagi tujuan siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Normah Abu Hassan di talian 010-536 4619.