Pertemuan dengan Hamzah di Rusila tidak dirancang - Pas

Iklan
Takiyuddin. Foto SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

KOTA BHARU - Pertemuan antara pimpinan Pas dan bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin di Rusila, Marang, Terengganu pada Jumaat tidak dirancang, kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau bahkan menjelaskan pertemuan tersebut hanya kebetulan dan tidak melibatkan sebarang perbincangan khusus berkait parti mahupun gabungan.

Iklan
Iklan

Katanya, kehadiran beliau di Rusila kerana menghadiri mesyuarat di Kuala Terengganu sebelum dimaklumkan mengenai kunjungan Hamzah.

“Pertemuan itu tidak dirancang, saya kebetulan ada mesyuarat di Kuala Terengganu dan dimaklumkan ada kunjungan daripada bekas Timbalan Presiden Bersatu, jadi saya singgah.

Iklan

“Tidak ada pertemuan rasmi atau perbincangan khusus, hanya ziarah biasa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Klinik Hayat 24 Jam Cherang, di sini pada Sabtu.

Menurut beliau, ketika Hamzah bertolak dari Kuala Lumpur, beliau difahamkan masih belum mengetahui keputusan pemecatan terhadap dirinya.

Iklan

“Jadi bukan tujuan pertemuan itu berkait dengan apa-apa tindakan terhadap beliau.

“Tidak ada bincang soal itu,” katanya.

Gambar pertemuan Hamzah bersama Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, Takiyuddin serta beberapa pemimpin Pas lain di Masjid Rusila itu dimuat naik di Facebook rasmi Hamzah selepas beberapa jam notis pemecatan 17 pemimpin Bersatu diumumkan.