MELAKA - Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh berdepan saingan satu lawan satu dalam usaha mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, pada 14 November ini.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka itu dicabar Setiausaha Penaja Parti Keadilan Rakyat (PKR) Masjid Tanah Mohd Yunazri Mustamiri yang mewakili Pakatan Harapan (PH).
Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) DUN Tanjung Bidara Datuk Saifuddin Abdul Karim mengumumkan pencalonan rasmi itu sebaik tamat proses penamaan calon di Dewan Datuk Kapt (B) Hj Ab Karim Kompleks Japerun Tanjung Bidara di Alor Gajah di sini, pada 10 pagi tadi.
Selesai proses penamaan calon, tempoh berkempen selama 14 hari bagi PRN Melaka bermula secara rasmi seperti ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sehingga 11.59 malam, 13 November.
ARTIKEL BERKAITAN: PRN Melaka: Proses penamaan calon bermula hari ini
PRN Melaka: Calon PH disambut tarian singa, PN gegar dengan laungan takbir
PRN Melaka: Penyokong PN, PH bersahutan dengan laungan takbir dan ‘hidup rakyat’
PRN Melaka: Ab Rauf diiringi Ahmad Zahid ke pusat penamaan calon DUN Tanjung Bidara
PRN Melaka: Nie Ching iringi calon PH DUN Bandar Hilir
PRN Melaka: Tiga calon rebut kerusi Paya Rumput
Pada PRN Melaka ke-15, Ab Rauf menang pertandingan tiga penjuru di DUN Tanjung Bidara menewaskan calon PH Zainal Hassan dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin daripada Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti 364 undi.
DUN Melaka yang mempunyai 28 kerusi dibubarkan pada 23 Sept lepas, selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam, dan SPR menetapkan 10 November ini bagi hari pengundian awal, manakala 14 November sebagai hari mengundi.
Seramai 687,697 pengundi layak menunaikan tanggungjawab pada pilihan raya kali ini, terdiri daripada 675,166 pengundi biasa, 9,769 anggota tentera bersama pasangan dan 2,762 anggota polis.
Pada PRN Melaka ke-15 yang berlangsung 20 Nov 2021, BN menang 21 kerusi dengan UMNO menguasai 18 kerusi, MCA (dua) dan MIC (satu), sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti lebih dua pertiga.
PH pula menang lima kerusi menerusi DAP (empat) dan Amanah (satu), manakala PN dengan dua kerusi. - Bernama