‘Penjenayah perang tidak dialu-alukan’

Iklan
Ribuan penunjuk perasaan berhimpun di Melbourne, sebagai tanda bantahan kehadiran Presiden Israel ke Australia.

SYDNEY – Ribuan rakyat Australia berhimpun di Sydney dan Melbourne bagi membantah lawatan rasmi Presiden Israel, Isaac Herzog, dengan sebahagian penunjuk perasaan melaungkan slogan 'penjenayah perang tidak dialu-alukan' serta menggesa penamatan pendudukan Israel di wilayah Palestin.

Di Sydney, polis menggunakan semburan lada bagi menyuraikan kumpulan pro-Palestin yang berhimpun di kawasan pusat perniagaan bandar itu pada Isnin.

Iklan
Iklan

Penunjuk perasaan mengibarkan bendera dan mengangkat papan tanda semasa berarak ketika membantah lawatan Presiden Israel di Melbourne.

Wartawan agensi berita AFP melaporkan sekurang-kurangnya 15 individu ditahan dalam insiden tersebut, manakala beberapa petugas media turut terkesan akibat semburan berkenaan.

Iklan

Protes serentak turut berlangsung di pusat bandar Melbourne, dengan kira-kira 5,000 peserta berhimpun berhampiran Stesen Kereta Api Flinders Street sebelum berarak ke Perpustakaan Negeri, sekali gus mengganggu aliran trafik waktu puncak, menurut polis.

Penunjuk perasaan memegang papan tanda dan bendera di luar Stesen Flinders Street ketika menyertai demonstrasi berkenaan.

Iklan

Tunjuk perasaan itu diteruskan walaupun penganjur, Palestine Action Group, gagal dalam cabaran undang-undang terhadap perintah polis yang melarang perarakan dari Dewan Bandaraya Sydney ke Parlimen New South Wales.

Mahkamah Agung negeri berkenaan menolak permohonan tersebut tidak lama sebelum demonstrasi bermula.

Pegawai polis mendekati penunjuk perasaan yang berhimpun di luar Government House susulan ketibaan Presiden Israel di Melbourne, dalam lawatan empat hari yang dikawal ketat.

Seorang wanita berusia 20 tahun ditahan selepas didakwa membakar dua bendera dan menyebabkan kerosakan akibat kebakaran di sebuah hentian trem.

Polis memaklumkan wanita itu telah dibebaskan, namun dijangka berdepan pertuduhan berkaitan perbuatan khianat.

Dua penunjuk perasaan berdiri di atas tong sampah sambil berucap menggunakan pembesar suara di hadapan anggota polis yang mengawal keadaan.

Aktivis menegaskan Herzog tidak wajar kebal daripada bantahan awam, susulan dapatan Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang sebelum ini menyatakan beliau boleh dipertanggungjawabkan atas dakwaan menghasut genosid terhadap rakyat Palestin.

Cawangan Amnesty International Australia turut mengkritik lawatan tersebut dengan menyatakan bahawa menerima Herzog sebagai tetamu rasmi boleh menjejaskan komitmen Australia terhadap akauntabiliti dan keadilan

Isaac Herzog semasa acara komuniti di Melbourne.

Herzog bagaimanapun menyifatkan protes tersebut sebagai usaha untuk 'melemahkan dan menafikan legitimasi' hak Israel untuk wujud sebagai sebuah negara.

Terdahulu, Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, menyeru agar semua pihak menghormati undang-undang sepanjang lawatan berkenaan, sambil memaklumkan beliau akan menyertai Herzog bertemu keluarga mangsa insiden tembakan beramai-ramai di Pantai Bondi pada Disember lalu.

Polis berdiri dalam barisan semasa penunjuk perasaan berarak ketika lawatan Presiden Israel di Melbourne.

Herzog memulakan lawatan empat hari itu dengan meletakkan kalungan bunga di Bondi Pavilion bagi memperingati 15 mangsa yang terbunuh ketika sambutan Hanukkah.

“Ini juga merupakan serangan terhadap seluruh rakyat Australia.

“Mereka menyerang nilai yang dihargai oleh demokrasi kita – kesucian nyawa manusia, kebebasan beragama, toleransi, maruah dan rasa hormat," katanya.

Beliau menambah: “Saya hadir untuk menyatakan solidariti, persahabatan dan kasih sayang.”

Herzog mengakhiri lawatan selama empat hari pada Khamis dengan kehadirannya di Melbourne, yang menyaksikan penunjuk perasaan berhimpun di luar lokasi acara komuniti Yahudi sambil mengibarkan bendera Palestin dan melaungkan slogan bantahan.

Seorang penunjuk perasaan membawa rangka plastik manusia di bahunya di sebagai simbolik jenayah yang dilakukan Presiden Israel.

Dalam wawancara bersama stesen televisyen tempatan Channel Seven, Herzog berkata, satu 'gelombang' kebencian terhadap masyarakat Yahudi di Australia memuncak dengan tragedi pembunuhan tersebut.

“Ia menakutkan dan membimbangkan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan majoriti rakyat Australia mahukan keamanan serta dialog dengan Israel.

Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas PBB pada tahun lalu merumuskan bahawa Herzog boleh dikenakan dakwaan hasutan genosid, susulan kenyataan yang dibuatnya selepas serangan Hamas pada Oktober 2023.

Kerajaan Israel menafikan laporan berkenaan, dengan menyifatkannya sebagai berat sebelah dan tidak tepat. - Agensi