KOTA KINABALU - Wanita yang ditemukan mati dalam keadaan anggota badannya dikerat dipercayai sempat berlari keluar dari sebuah rumah dalam keadaan cemas sebelum ditarik masuk semula oleh seorang lelaki.
Maklumat itu diperoleh hasil keterangan saksi yang membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan, termasuk seorang warga emas berusia 71 tahun yang mempunyai hubungan pertunangan dengan mangsa dipercayai berusia 40-an.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, pada jam 4.30 petang sepasukan pegawai serta anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menjalankan operasi di kawasan Kampung Sri Kenangan, Sepanggar.
"Hasil maklumat saksi mendapati mangsa pernah dilihat berlari keluar dari sebuah rumah dalam keadaan cemas sebelum ditarik masuk semula oleh seorang lelaki.
"Susulan itu, pada jam 8.10 malam hari sama, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu dengan kerjasama D7 dan D9 menahan seorang lelaki berumur 71 tahun di Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) bagi membantu siasatan.
"Seterusnya pada jam 10.30 malam, seorang lagi lelaki berusia 19 tahun turut ditahan di sebuah unit kediaman di Taman Seri Maju Apartment, Sepanggar kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, hasil soal siasat awal mendapati suspek utama mengaku terlibat dalam kejadian tersebut dan menyatakan motif dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berkaitan hubungan peribadi serta tuntutan pemulangan wang pertunangan.
“Hubungan suspek dan mangsa dipercayai sebagai tunang," katanya.
Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan anggota badan dikerat sebelum dibuang di kawasan pembuangan sampah di Taman Indah Permai.