BAYARAN fidyah kini boleh dilunaskan melalui aplikasi TheNoor atau Touch ’n Go berikutan kerjasama berasingan yang dijalinkan Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com), sebagai inisiatif memudahkan umat Islam menunaikan kewajipan mereka menerusi platform digital yang digunakan secara meluas.
Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata, TheNoor atau Touch ’n Go menjadi saluran altenatif pembayaran fidyah, sementara ikhlas.com berperanan sebagai platform pemudah cara yang menyokong pengurusan serta pelaksanaan pengagihan fidyah secara terancang, selaras dengan prinsip syariah dan amalan kebajikan yang bertanggungjawab.
Menurutnya, bayaran fidyah diterima melalui platform berkenaan diselaraskan menerusi program fidyah ikhlas.com, dengan setiap sumbangan direkod dan dilaksanakan melalui aktiviti pengagihan yang dirancang, disokong oleh mekanisme pelaporan yang sesuai bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti.
"Keutamaan kami adalah untuk memudahkan pelaksanaan kewajipan tanpa membebankan pengguna.
"Melalui kerjasama dengan pelbagai platform digital, kami dapat memperluas capaian dan kemudahan, di samping memastikan sumbangan fidyah diurus serta dilaksanakan secara tersusun, telus dan bertanggungjawab," katanya sempena program pengagihan fidyah ‘Amanah Fidyah: Sekampit Beras, Seribu Makna’ di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Kampung Ampang Indah, di sini pada Khamis.
Program tersebut melibatkan pengagihan beras fidyah kepada 200 keluarga asnaf di sekitar zon Lembah Jaya, sekali gus membuktikan bahawa peluasan akses pembayaran digital mampu diterjemahkan kepada impak komuniti yang nyata.
Inisiatif berkenaan mencerminkan peranan kerjasama merentas platform digital dalam mempermudah pelaksanaan kewajipan Islam melalui perluasan akses, di samping menyokong pelaksanaan yang bertanggungjawab di peringkat akar umbi.
Dalam masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif TheNoor, Noor Neelofa berkata, TheNoor sedang bersedia untuk memperkenalkan TheNoor Pro, satu pengalaman yang dipertingkatkan bagi menawarkan penglibatan spiritual yang lebih mendalam serta perkhidmatan Islamik digital premium.
"TheNoor merupakan sebuah platform gaya hidup Islamik digital yang mengintegrasikan ibadah, ilmu dan impak sosial dalam satu ekosistem yang menyeluruh.
"Daripada waktu solat dan ciri al-Quran sehinggalah kepada zakat dan sumbangan kebajikan, TheNoor berusaha memudahkan ibadah harian melalui teknologi," katanya.
Menerusi peranannya sebagai platform pemudah cara, ikhlas.com terus memanfaatkan teknologi sebagai pemangkin ibadah dan kesejahteraan sosial, sekali gus memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap inisiatif kebajikan Islam digital.
Ditubuhkan pada Oktober 2020, ikhlas.com merupakan platform digital Islam Capital A yang menawarkan penyelesaian Umrah dan perjalanan mesra Muslim, di samping perkhidmatan patuh syariah seperti zakat, korban, aqiqah, sedekah dan fidyah.
Berteraskan prinsip amanah, ketelusan dan kecemerlangan perkhidmatan, ikhlas.com komited untuk mempermudah pelaksanaan kewajipan Islam serta perjalanan ibadah bagi umat Islam.
Maklumat lanjut boleh layari ikhlas.com atau muat turun aplikasi ikhlas.com di Apple App Store dan Google Play Store.