KUMPULAN pembangunan hartanah dan pelaburan, Asian Pac Holdings Berhad (Asian Pac) mengorak langkah pertamanya ke Pantai Timur melalui cadangan pembangunan pusat beli belah di KotaSAS, di Kuantan.
Pembangunan menggabungkan pusat beli-belah dan lot kedai gaya hidup pelengkap itu dijangka menjadi titik tumpuan baharu selain memacu pertumbuhan ekonomi tempatan melalui kesalinghubungan dengan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Pengarah Eksekutif Asian Pac Holdings Berhad, Michael Mah berkata, dengan nilai pembangunan kasar indikatif sekitar RM 281.3 juta, projek itu penting kepada perkembangan KotaSAS ke arah sebuah pusat bandar terhubung untuk komuniti, dunia perniagaan, dan pengunjung.
Menurutnya, nilai pembangunan kasar (GDV) projek itu dijangka berpotensi mencecah sehingga RM2 bilion pada masa hadapan.
"Presint itu akan dibangunkan dalam Daerah Pusat Perniagaan KotaSAS dan terletak pada jarak berjalan kaki dari Stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) KotaSAS, selaras dengan konsep pembangunan berorientasikan transit perbandaran (TOD).
"Laluan pejalan kaki dirancang bagi menghubungkan pusat beli-belah, rumah kedai gaya hidup dan kawasan kejiranan berhampiran. Ruang runcit, makanan dan minuman, riadah serta komersial turut dicadangkan untuk memenuhi keperluan penduduk, pekerja dan pengunjung," katanya melalui kenyataan pada Khamis.
Anak syarikat Asian Pac, Everest Pioneer Sdn Bhd telah memeterai perjanjian jual beli serta perjanjian pembangunan usaha sama dengan KotaSAS Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Tanah Makmur Berhad bagi cadangan pembangunan berkenaan.
Beliau berkata, pembangunan itu membantu meningkatkan aktiviti ekonomi di dalam perbandaran ini sekali gus meletakkan KotaSAS sebagai pusat ketersambungan dan pintu gerbang utama ke Kuantan," katanya melalui kenyataan pada Khamis.
Sementara itu, Michael berkata, pembangunan projek itu dirancang bagi memenuhi keperluan harian di samping mewujudkan tarikan untuk orang ramai berkunjung, meluangkan lebih banyak masa dan kembali semula.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tanah Makmur Berhad, Datuk Shahrul Nizam Abdul Aziz berkata, pembangunan projek itu pemangkin strategik bagi fasa KotaSAS seterusnya sebagai bandar baharu.
Katanya, visi pembangunan berorientasikan TOD itu akan menghubungkan masyarakat dengan kemudahan pengangkutan, perdagangan dan kehidupan komuniti.
"Dengan adanya Stesen ECRL KotaSAS, kami berpeluang menukarkan kesalinghubungan serantau yang dipertingkatkan kepada manfaat berkekalan bagi mereka yang menetap dan bekerja di sini.
"Pusat beli-belah dan presint lot kedai gaya hidup pertama di KotaSAS akan mengukuhkan lagi daya tarikan perbandaran ini di samping mewujudkan ruang untuk ekonomi tempatan yang baharu," katanya.
Beliau berkata, penyertaan Asian Pac membawa kepakaran peruncitan dan rakan pembangunan jangka panjang membantu merealisasikan matlamat itu.
Tambah Shahrul Nizam, ia juga dijangka menyokong peluang pekerjaan sepanjang fasa pembinaan dan operasinya selain membuka peluang kepada perniagaan tempatan melalui penyewaan ruang runcit, kedai makanan dan minuman, perkhidmatan serta rantaian bekalan.
"Dengan kepelbagaian ruang komersial disediakan, pembangunan ini juga disasarkan sebagai destinasi tumpuan komuniti bagi kemudahan harian.
"Reka bentuknya yang mesra pejalan kaki bakal menggalakkan kelancaran pergerakan, membolehkan penduduk, pekerja dan pelawat menikmati pelbagai tarikan di KotaSAS dengan lebih mudah," ujarnya.
Beliau berkata, KotaSAS yang berkeluasan kira-kira 866 hektar dengan penduduk melebihi 21,000 orang mempunyai asas mapan untuk memacu fasa pertumbuhan baharu ini.