SURUHANJAYA Kredit Pengguna (SKP) mengumumkan pembentukan Jawatankuasa Penasihat di bawah Seksyen 36 Akta Kredit Pengguna 2025 (AKP) dengan pelantikan ahli daripada Kementerian dan agensi yang terlibat di dalam industri kredit pengguna.
Jawatankuasa Penasihat tersebut merupakan platform yang diperuntukkan di bawah AKP bagi memperkukuh penyelarasan dasar dan strategi berkaitan perlindungan pengguna kredit serta menyokong pelaksanaan akta tersebut secara konsisten dan berkesan.
Dengan pembentukan Jawatankuasa Penasihat ini, usaha ke arah peningkatan tahap perlindungan ke atas pengguna kredit merentasi seluruh sektor kredit pengguna akan dilaksanakan dengan lebih teratur dan menyeluruh.
Pengerusi Eksekutif SKP, Abu Hassan Alshari Yahaya berkata, Jawatankuasa Penasihat menghimpunkan kepimpinan kanan daripada kementerian, pengawal selia dan agensi utama yang memainkan peranan penting dalam ekosistem kredit pengguna.
“Ini membolehkan isu-isu rentas sektor dibincangkan secara kolektif sekali gus membantu memastikan Akta Kredit Pengguna dilaksanakan dengan konsisten dan terselaras bagi memperkukuh perlindungan pengguna.
“Perkara yang diperbincangkan dalam Jawatankuasa ini juga akan membantu memantapkan dasar serta menyokong peranan SKP dalam menasihati menteri dan kerajaan berhubung perkara berkaitan sektor kredit pengguna,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Selain memperkukuh penyelarasan antara agensi, jawatankuasa yang dipengerusikan Abu Hassan itu akan menjadi platform membincangkan isu strategik berkaitan pengguna, industri dan pelaksanaan AKP.
Pandangan serta syor yang dikemukakan turut menjadi maklum balas penting kepada SKP dalam melaksanakan mandatnya untuk menasihati Menteri Kewangan dan kerajaan mengenai dasar sektor kredit pengguna serta perlindungan pengguna kredit di negara ini.
Pada mesyuarat sulung yang berlangsung pada 28 Oktober 2026, jawatankuasa itu membincangkan beberapa isu penting berkaitan industri kredit pengguna, termasuk langkah yang memberi manfaat secara langsung kepada pengguna.
Antaranya, peralihan daripada kaedah kadar faedah tetap sama rata (flat rate) dan kaedah Peraturan 78 (Rule of 78) kepada kadar faedah efektif (effective interest rate) bagi memastikan caj faedah lebih telus dan adil.
Peralihan itu akan dilaksanakan oleh SKP bagi pemberi kredit di bawah seliaannya, manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakannya bagi sewa beli melalui pindaan kepada Akta Sewa Beli 1967.
Jawatankuasa itu turut mengambil maklum pembangunan rangka kerja bagi produk kredit pengguna patuh Syariah oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), selain langkah memastikan industri di bawah seliaan kementerian dan agensi berkaitan hanya menggunakan agensi kutipan hutang serta pembeli pinjaman terjejas yang berdaftar dengan SKP bagi melindungi pengguna daripada amalan kutipan hutang tidak beretika.
Berhubung hala tuju industri, jawatankuasa itu bersetuju bekerjasama ke arah penyatuan industri kredit pengguna bukan bank di bawah satu pengawal selia, selain mengenal pasti langkah persediaan bagi Fasa 2 pelaksanaan AKP.
Fasa 2 tersebut melibatkan inisiatif ke arah penyatuan sektor kredit pengguna bukan bank termasuk pemberi pinjam wang, pemegang pajak gadai, penyedia perkhidmatan Ar-Rahnu dan penyedia sewa beli di bawah SKP.