GEORGE TOWN – Seorang pesara wanita berusia 66 tahun kerugian sebanyak RM1.69 juta selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan pelaburan saham dalam talian yang menjanjikan pulangan keuntungan tinggi.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut menerima laporan berhubung kes tersebut pada 11 Februari lalu.
Menurutnya, mangsa yang merupakan bekas kakitangan sebuah institusi perbankan di negeri ini mendakwa mula terlibat dalam skim berkenaan selepas melihat iklan pelaburan saham luar negara di aplikasi Facebook pada pertengahan November 2025.
“Mangsa kemudiannya berhubung dengan seorang lelaki melalui aplikasi WhatsApp sebelum dijemput menyertai satu kumpulan WhatsApp pelaburan.
“Dalam kumpulan tersebut, mangsa diberikan penerangan mengenai pelaburan yang menjanjikan pulangan keuntungan sebanyak 10 peratus dalam tempoh satu hari daripada jumlah modal yang dilaburkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Azizee berkata tertarik dengan tawaran berkenaan, mangsa telah mendaftar akaun keahlian dan membuat pelaburan seperti diarahkan.
Tambah beliau, antara 17 November hingga 6 Disember 2025, mangsa telah melakukan 23 transaksi pemindahan wang ke dalam empat akaun bank milik syarikat berbeza.
“Mangsa hanya menyedari dirinya diperdaya apabila tidak menerima sebarang keuntungan seperti dijanjikan, malah diminta membuat bayaran tambahan kononnya bagi tujuan pengeluaran keuntungan.
“Berasa curiga dengan keadaan itu, mangsa tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Ujar beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sehubungan itu, Azizee menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan skim pelaburan dalam talian yang menawarkan pulangan luar biasa tinggi.
“Penyertaan dalam mana-mana skim pelaburan khususnya yang ditawarkan secara dalam talian adalah sangat berisiko.
“Orang ramai disaran membuat semakan terlebih dahulu dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi memastikan entiti atau individu terbabit mempunyai kebenaran untuk menawarkan, mempromosikan atau menjual produk serta perkhidmatan pasaran modal,” katanya.
Tambah beliau, pelabur juga boleh merujuk portal ‘Semak Sebelum Labur’ yang disediakan sebagai panduan sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan.