Bunuh suami buta: Hukuman penjara 33 tahun terhadap wanita, adik lelaki kekal

Iklan
Mahkamah Persekutuan di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara 33 tahun terhadap seorang wanita dan adik lelakinya yang disabitkan dengan kesalahan membunuh suaminya yang buta, enam tahun lepas.

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara 33 tahun terhadap seorang wanita dan adik lelakinya yang disabitkan dengan kesalahan membunuh suaminya yang buta, enam tahun lepas.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Datuk Rhodzariah Bujang, bersidang bersama Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah menolak rayuan difailkan G.S. Angela Dewi dan S. Vijaya terhadap sabitan dan hukuman mereka.

Iklan
Iklan

Dua beradik itu pada mulanya dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi pada 2023 atas pertuduhan membunuh R. Devarajoo, 59, di sebuah rumah di Kampung Baru Sungai Chua, Kajang, Selangor antara 12 dan 1 tengah hari, 1 Oktober 2020.

Pada 2024, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan mereka, namun menukar hukuman mati kepada penjara 33 tahun.

Iklan

Mahkamah itu turut memerintahkan Vijaya dikenakan 12 sebatan.

Kedua-duanya diarahkan menjalani hukuman bermula dari tarikh tangkapan masing-masing, iaitu pada 10 dan 17 Oktober 2020.

Iklan

Angela Dewi yang mengusahakan sebuah kedai makan dengan adiknya itu kemudian memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Berdasarkan fakta kes, cucu perempuan si mati telah menjumpai mangsa terbaring di atas sofa di beranda rumah berkenaan dalam keadaan berlumuran darah dan menjerit sebaik sahaja melihat keadaan itu.

Isteri kedua Devarajoo, yang dikahwini mengikut undang-undang adat, kemudian tiba di tempat kejadian dan melihat lelaki itu dalam keadaan berlumuran darah.

Devarajoo kemudian dihantar ke hospital menggunakan ambulans.

Pada hari sama, Angela Dewi yang merupakan isteri pertama Devarajoo, membuat laporan polis dengan mendakwa berlaku satu rompakan dan satu rantai emas milik suaminya itu telah hilang.

Kes berkenaan pada mulanya diklasifikasikan sebagai rompakan, namun selepas Devarajoo meninggal dunia akibat kecederaannya pada 10 Oktober 2020, pihak polis mengklasifikasikannya sebagai bunuh.

Hasil siasatan lanjut, polis menahan Angela Dewi, 50, dan Vijaya, 47.

Vijaya kemudian membawa pihak polis ke sebuah bilik stor dan mereka menemukan satu penukul serta seutas rantai emas yang dilaporkan hilang.

Angela Dewi dan Vijaya diwakili peguam M.Manoharan, B. Sarathabala serta P. Subramaniam manakala Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi mewakili pihak pendakwaan.- Bernama