KOTA KINABALU - Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu di sini diberitahu saksi bahawa watak yang sepatutnya dilakonkan oleh beliau dalam demonstrasi enam tahun lalu di Kem Lok Kawi telah diambil oleh Allahyarham Leftenan Kolonel Mohd Zahir Armaya.
Perkara itu didedahkan oleh Koperal Muhammad Idzham Ramalan, 31, yang juga saksi ketiga pihak pembelaaan dalam prosiding yang bersambung pada Rabu.
"Pada 4 September 2019 saya terlibat dengan penugasan penyediaan makanan," katanya ketika ditanya dalam pemeriksaan utama oleh Peguam Persekutuan Wan Nur Muhammad Ehsan Alauddin.
Diminta menerangkan lebih lanjut mengapa wataknya diambil, beliau menyatakan hanya menerima arahan yang diberikan.
Saksi kemudian diminta menjelaskan kenapa Allahyarham enggan dibantu untuk disediakan vest kalis peluru yang dipakainya semasa demonstrasi.
"Si mati ingin menyediakan kesesuaian mengikut karakternya," jelasnya.
Sementara itu, semasa pemeriksaan balas daripada peguam mewakili plaintif, Datuk Ansari Abdullah, saksi menyatakan bahawa dia tidak mengenali Allahyarham Mohd Zahir.
Saksi bersetuju dengan cadangan Ansari bahawa dia berkhidmat bersama Leftenan Kolonel Razahar Rashid yang juga pegawai atasannya di Rejiman 22 Komando manakala Mohd Zahir pula bukan pegawai atasannya kerana berkhidmat di kem Komando di Melaka.
Ditanya anggaran waktu saksi datang ke Kem Lok Kawi sebelum tarikh pertunjukkan demonstrasi iaitu 3 dan 4 September 2019, beliau menyatakan bahawa sudah berada di kem tersebut sekitar dua minggu.
Saksi turut memaklumkan bahawa antara jam 11 malam 3 September hingga 2.30 pagi 4 September 2019 beliau terlibat sebagai anggota penyediaan makanan dan tidak terlibat dengan latihan terakhir yang dijalankan Razahar serta Allahyarham.
"Saya ambil vest tersebut di penginapan Kolonel Razahar setelah anggota selesai latihan," jelasnya kepada mahkamah apabila ditanya bagaimana vest Razahar diberikan kepadanya untuk diubah suai.
Saksi sebelum itu memaklumkan bahawa dia mula menjahit vest tersebut sekitar jam 2.30 pagi di tempat penginapan dengan menggunakan alat jahit benang dan jarum yang ada pada setiap anggota tentera.
Sebelum itu, ahli keluarga Allahyarham melalui pasukan peguam mereka telah memulakan prosiding tuntutan saman terhadap sembilan defendan termasuk bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Prosiding tersebut didengar oleh Hakim Datuk Alexander Siew How Wai.
Pasukan peguam plaintif diwakili oleh Ansari bersama anaknya, Erveana dan Noor Shazwani Sapri manakala pasukan pembelaan defendan ialah Peguam Kanan Persekutuan, Nur Ezdiani Roleb dan Peguam Persekutuan, Siti Norashikin Hassanor serta Wan Nur Muhammad Ehsan.
Mohd Zahir, 36, yang juga anak kepada pelakon popular A R Badul disahkan meninggal dunia selepas tertembak ketika melakukan demonstrasi sempena pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, pada 4 September 2019.