KUALA LUMPUR - Syarat Lembaga Tabung Haji (TH) yang mewajibkan pendeposit mempunyai simpanan minimum RM15,000 dalam akaun TH untuk melayakkan bakal jemaah menerima tawaran haji selari dengan peningkatan semasa kos ibadat itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, peningkatan kadar itu sebenarnya masih tidak memadai memandangkan kos mengerjakan haji secara muassasah adalah RM33,300 bagi setiap jemaah.
"Yang Berhormat Pengkalan Chepa memberi pandangan syarat simpanan RM15,000 kepada pendeposit beri kesan besar.
"Jumlah RM15,000 bagi menerima tawaran haji masih tidak mencukupi untuk laksanakan haji kerana kos keseluruhan bagi jemaah muassasah adalah RM33,300.
"Pada 2025, kira-kira separuh bakal jemaah yang terima tawaran telah menangguhkan giliran kerana kekurangan simpanan. Apa kita lakukan pada 2026, selepas dibuat peringatan awal, terdapat bakal jemaah yang meningkatkan simpanan terus ke paras RM15,000 dalam masa singkat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi pengulungan perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Dewan Rakyat pada Selasa.
Sebelum ini, Ketua Jabatan Haji Tabung Haji (TH), Mohd Hisham Harun dilapor berkata, bakal jemaah haji hanya layak menerima surat tawaran sekiranya mempunyai simpanan minimum RM15,000 dalam akaun masing-masing.
Beliau memaklumkan setakat November tahun lalu, lebih 26,000 surat tawaran telah dikeluarkan daripada kuota keseluruhan 31,600 jemaah Malaysia bagi musim Haji 1447H/2026.
Dalam pada itu, Zulkifli menjelaskan, penetapan kadar baharu itu secara tidak langsung memberi kesan positif dengan pendeposit berusaha meningkatkan simpanan semasa bagi melayakkan mereka menerima tawaran haji.
"Ia juga antara usaha TH bagi mengurangkan jumlah bakal jemaah yang menangguhkan giliran haji, sebagaimana dilaporkan pada tahun lalu.
"Alhamdulillah tahun ini kita berjaya kurangkan kepada 18 peratus sahaja penangguhan berbanding tahun lepas 55 peratus," katanya.