WWF-Malaysia, SD Guthrie rintis projek minyak sawit regeneratif

Iklan
WWF-Malaysia dan SD Guthrie jalin kerjasama transformatif menerajui program perintis pertanian regeneratif selama lima tahun bagi sektor minyak sawit di Sabah.

WORLD Wide Fund for Nature Malaysia (WWF-Malaysia) dan SD Guthrie Berhad membentuk kerjasama dalam menerajui program perintis pertanian regeneratif selama lima tahun bagi sektor minyak sawit di Sabah.

Kerjasama transformatif itu merupakan sebahagian daripada inisiatif lebih besar WWF-Malaysia untuk mencapai hasil biodiversiti dan iklim positif pada skala landskap di rantau ini.

Iklan
Iklan

Inisiatif julung kali itu akan memberi tumpuan kepada satu landskap di Tawau, Sabah meliputi kira-kira 13,000 hektar merangkumi lima ladang SD Guthrie yang diperakui oleh Roundtable on Sustainable Palm Oil (RSPO).

Ia turut berfungsi sebagai projek perintis di bawah WWF’s Reconnect Borneo Initiative, iaitu usaha serantau untuk memulihkan kesalinghubungan ekologi di seluruh Borneo melalui rangkaian koridor hidupan liar.

Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif WWF-Malaysia, Sophia Lim berkata, melalui perkongsian perintis ini, WWF-Malaysia dan SD Guthrie mengambil langkah tegas untuk merintis amalan minyak sawit regeneratif dan mencapai hasil biodiversiti serta iklim pada skala landskap di kawasan keutamaan di Sabah.

“Pendekatan ini melangkaui pensijilan RSPO dan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) untuk memberikan penambahbaikan yang boleh diukur kepada biodiversiti, daya tahan iklim dan komuniti sambil mengiktiraf kepentingan ekonomi minyak sawit kepada Malaysia dan pasaran global.

Iklan

“Kerjasama ini turut mencerminkan kefahaman bersama bahawa transformasi tidak boleh berlaku secara terasing. Organisasi pemuliharaan, peneraju industri dan pihak berkepentingan rantaian nilai perlu bekerjasama untuk mencipta penyelesaian yang praktikal, berasaskan sains dan boleh diskalakan.

“Sebagai organisasi pemuliharaan, WWF-Malaysia percaya kepada penglibatan konstruktif dengan sektor minyak sawit di samping industri keutamaan lain bagi memacu hasil alam sekitar yang bermakna,” katanya dalam satu kenyataan.

Menerusi inisiatif ini, WWF-Malaysia dan Guthrie akan turut bekerjasama mewujudkan koridor hidupan liar, memperkukuh pemuliharaan biodiversiti serta melaksanakan rangka kerja global minyak sawit regeneratif WWF dalam situasi operasi sebenar.

Rangka kerja minyak sawit regeneratif merujuk kepada pengeluaran minyak sawit yang kekal berdaya maju secara komersial, menyokong pekerja dan komuniti setempat serta secara aktif menambah baik biodiversiti, perkhidmatan ekosistem dan daya tahan iklim.

Ia dibangunkan berdasarkan piawaian kemampanan sedia ada, termasuk pensijilan RSPO dan MSPO. Kejayaan akan diukur berdasarkan garis asas yang jelas, dengan kemajuan dibuktikan melalui kesalinghubungan biodiversiti, perkhidmatan ekosistem, kesihatan tanah dan hasil sosial.

Sementara itu, Guthrie menyifatkan kerjasama itu mengukuhkan rangka kerja kemampanannya, 'Beyond Zero' yang menyenaraikan pelaksanaan projek perintis Rangka Kerja Pertanian Regeneratif untuk sektor minyak sawit menjelang 2028 sebagai salah satu sasaran utama.

Guthrie turut komited memulihara dan memulihkan 100,000 hektar tanah di seluruh dan di luar rantaian nilainya menjelang 2030 bagi meningkatkan biodiversiti dan daya tahan alam sekitar, selari dengan inisiatif biodiversiti peringkat landskap WWF.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Guthrie, Mohd Haris Mohd Arshad, pihaknya teruja untuk memulakan projek perintis minyak sawit regeneratif ini bersama WWF dan menantikan pembelajaran baharu yang akan menambah baik cara berinteraksi dengan alam sekitar.

“Perkongsian ini mencerminkan komitmen Guthrie untuk mencapai sasaran 'Beyond Zero' kami secara praktikal dan berwibawa, di samping meningkatkan operasi minyak sawit yang produktif dan bertanggungjawab.

“Melalui inisiatif ini juga, kami akan melangkaui keperluan pensijilan, dengan sasaran bukan sahaja meminimumkan dan mengurangkan kesan negatif tetapi juga memastikan secara aktif memupuk hasil positif di landskap tempat kami beroperasi,” katanya.

Aktiviti di bawah kerjasama ini melibatkan ladang serta kawasan pemuliharaan yang diperakui RSPO dan MSPO dan tertakluk kepada audit bebas, semakan risiko serta kawalan tadbir urus WWF.

Komunikasi masa hadapan berkaitan perkongsian ini akan memberi tumpuan kepada garis asas dan hasil pemuliharaan yang telah disahkan.

Direka sebagai projek perintis, perkongsian ini berpotensi untuk penggunaan lebih meluas dalam industri serta penglibatan masa hadapan dengan semua pihak berkepentingan sektor berkenaan dalam usaha mencari laluan berwibawa untuk menyokong amalan regeneratif.

Dengan meletakkan minyak sawit regeneratif dalam pendekatan pemuliharaan berskala landskap, WWF-Malaysia dan Guthrie berhasrat untuk menunjukkan bagaimana tindakan kolaboratif boleh menyumbang kepada matlamat biodiversiti dan iklim Malaysia sambil mempengaruhi transformasi lebih luas dalam sektor minyak sawit global.