SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mengantung tugas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki serta-merta supaya satu siasatan menyeluruh boleh dibuat berhubung tuduhan salah laku pemilikan saham terhadapnya.
Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, semakan keseluruhan pemilikan harta Azam juga perlu dilakukan segera untuk memastikan bagaimana beliau boleh mempunyai wang sebanyak itu.
Menurutnya, tindakan lain termasuklah memastikan sama ada beliau terbabit, secara langsung atau tidak langsung dalam apa-apa urus niaga melibatkan MMAG Berhad dan NexG Berhad terutamanya yang melibatkan perolehan awam.
"Laporan Bloomberg itu mendedahkan satu pelanggaran, iaitu pemilikan 17.7 juta saham dalam sebuah syarikat senaraian awam Velocity Capital Partners Berhad. Berdasarkan harga hari ini, 17.7 juta saham ini dianggarkan bernilai RM800,000.
"Ini telah melanggar peraturan-peraturan mengikat penjawat awam, terutamanya terkandung dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2002, yang secara khusus menyatakan bahawa seorang penjawat awam tidak boleh memiliki saham bernilai lebih RM100,000 dalam mana-mana syarikat," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini, media antarabangsa Bloomberg melaporkan Azam didakwa memegang jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
Ia sekali gus pendedahan awam pertama mengenai pegangan saham besar atas namanya sejak kontroversi beberapa tahun lalu berhubung pegangan sahamnya yang mencetuskan protes menuntut beliau meletakkan jawatan.
Rafizi menyifatkan, kontroversi melibatkan pemilikan saham Velocity Capital Partners Berhad bukan melibatkan pelanggaran peraturan penjawat awam semata-mata.
Tegasnya, satu perkara mewajarkan satu siasatan menyeluruh diadakan segera ialah urusniaga yang beberapa kali mengundang persoalan melibatkan beberapa syarikat kerana urusniaga itu didakwa melibatkan bekas Setiausaha Politik kepada Anwar, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.