Anwar wajib jelaskan dakwaan KP SPRM miliki jutaan saham

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung Azam Baki didakwa miliki saham bernilai hampir RM800,000 - Gambar kanan (Ahmad Fadhli)

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa membuat penjelasan segera berhubung laporan terkini media antarabangsa, Bloomberg yang mendakwa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memiliki jutaan saham.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, dakwaan berkaitan pemilikan saham oleh pemimpin itu yang dikatakan bercanggah dengan peraturan perkhidmatan awam, wajib dipandang serius.

Iklan
Iklan

Menurutnya, isu tersebut bukan sekadar melibatkan perkara peribadi, sebaliknya menyentuh integriti institusi penguatkuasaan tertinggi negara dalam usaha memerangi rasuah.

“Sehubungan itu, Anwar selaku Perdana Menteri yang telah melanjutkan tempoh perkhidmatan Azam beberapa kali, didesak tampil memberikan penjelasan terbuka kepada rakyat.

Iklan

“Antaranya, menjelaskan status sebenar dakwaan pemilikan saham tersebut sama ada ia melanggar mana-mana pekeliling atau peraturan penjawat awam.

“Selain itu, status pematuhan kewajipan pengisytiharan harta serta tindakan yang telah atau akan diambil oleh kerajaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Iklan

Ahli Parlimen Pasir Mas itu menambah, isu berkenaan sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi besar dan kini dibangkitkan semula di peringkat antarabangsa.

Jelasnya, kegagalan Anwar memberikan penjelasan hanya akan menjejaskan keyakinan rakyat serta persepsi dunia terhadap komitmen Malaysia dalam memerangi rasuah.

“Lebih membimbangkan, ini bukan kali pertama Bloomberg menyiarkan laporan yang menyentuh soal integriti kepimpinan tertinggi negara.

“Sekiranya kerajaan terus berdiam diri tanpa sebarang penjelasan yang telus dan meyakinkan, maka Azam wajar mengambil tanggungjawab dengan meletakkan jawatan atau perkhidmatannya ditamatkan serta-merta demi menjaga nama baik SPRM serta integriti institusi negara.

“Jawatan sepenting Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak boleh dibayangi keraguan berterusan kerana ia memberi kesan langsung terhadap kredibiliti setiap siasatan rasuah di negara ini,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Azam dilapor memegang jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.

Ia sekali gus merupakan pendedahan awam pertama mengenai pegangan saham besar atas namanya sejak kontroversi beberapa tahun lalu berhubung pemilikan saham yang mencetuskan protes menuntut beliau meletakkan jawatan.

Menurut Bloomberg, Azam, 62, dikatakan memiliki 17.7 juta saham Velocity Capital Partner Bhd, sebuah syarikat perkhidmatan kewangan tersenarai di Bursa Malaysia, berdasarkan pemfailan tahunan oleh Velocity Capital kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 3 Februari tahun lalu.

Nilai pegangan tersebut dianggarkan hampir RM800,000 setakat penutupan dagangan pada Isnin.

Bloomberg turut melaporkan bahawa sehingga Selasa, nama Azam masih tersenarai dalam daftar pemegang saham Velocity Capital di SSM yang boleh diakses melalui pangkalan data berbayar dan dikemas kini secara berkala.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan bila saham tersebut diperoleh dan Velocity Capital dilaporkan masih belum mengemukakan pemfailan yang sama dikenali sebagai penyata tahunan bagi tahun ini.