KOTA KINABALU – Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) akan membawa isu aduan mengenai kematian ikan pelian atau kelah di beberapa sungai di negeri ini untuk dibincangkan di peringkat Kabinet.
Pembantu Menteri, Datuk Ruslan Muharam berkata, isu itu bukan sahaja berlaku di Tambunan, malah turut dilaporkan di beberapa kawasan lain seperti Beaufort.
Menurut beliau, pembukaan hutan dan ladang pertanian yang banyak menggunakan racun rumpai mungkin memberi kesan membimbangkan terhadap alam sekitar, khususnya di sungai-sungai kecil yang menjadi habitat pembiakan anak ikan dan udang.
“Isu ini akan kita bawa untuk perbincangan di peringkat kementerian. Insya-ALLAH, menteri akan membawanya ke peringkat Kabinet bagi mencari mekanisme untuk mengurangkan penggunaan racun.
“Kita akan mempertimbangkan had penggunaan, jarak dari sungai serta persekitaran yang sesuai supaya populasi ikan dan udang di sungai tidak terancam,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima penganugerahan Janang Gayuh Bisaya yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di sini pada Sabtu.
Ditanya mengenai jumlah aduan yang diterima, Ruslan menjelaskan bahawa aduan bukan sahaja diterima di Nabawan, malah turut dilaporkan di Beaufort.
“Di Beaufort pun memang banyak aduan diterima. Kawasan lain juga ada menerima laporan. Ia bukan sahaja membimbangkan kerana memberi kesan kepada ikan, tetapi juga kerana air sungai yang digunakan oleh loji-loji air dan masyarakat tempatan boleh terjejas,” katanya.
Beliau menegaskan langkah pencegahan perlu diambil segera bagi memastikan ekosistem sungai di Sabah terus terpelihara dan tidak menjejaskan kehidupan masyarakat yang bergantung kepada sumber air dan ikan sungai.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan ratusan bangkai ikan kelah ditemui terapung di Sungai Matang, sekali gus mencetuskan tanda tanya dan kebimbangan penduduk Kampung Long Pasia, Sipitang.
Sementara itu, ketika diminta mengulas cadangan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk mengimport ikan dari Sabah, Ruslan berkata, ia merupakan inisiatif kerajaan Persekutuan bagi menstabilkan harga ikan di Semenanjung.
“Cadangan membawa ikan Sabah ke Semenanjung juga bertujuan membantu nelayan tempatan dengan meningkatkan pendapatan mereka melalui pembelian ikan pada harga lebih tinggi.
“Pada masa sama, langkah ini dapat menampung keperluan ikan di Semenanjung. Ini merupakan satu pendekatan atau mekanisme kerajaan pusat untuk menyokong nelayan kita di Sabah,” katanya.
Tambah beliau, dari sudut ekonomi, langkah itu dijangka memberi manfaat besar kepada nelayan di negeri ini.
“Sudah tentu, sekiranya cadangan ini direalisasikan, ia akan melonjakkan pendapatan nelayan. Dalam situasi kos sara hidup yang semakin meningkat, inisiatif ini dapat mengurangkan beban kewangan mereka,” katanya.
Mengulas mengenai majlis yang dihadirinya, beliau yang menerima pengiktirafan tertinggi masyarakat Bisaya, Janang Gayuh, turut meluahkan rasa syukur dan kegembiraannya atas penghormatan tersebut.
Katanya, walaupun telah memegang jawatan Presiden Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) selama empat tahun, pengiktirafan Janang Gayuh hanya diberikan selepas tempoh perkhidmatan sekurang-kurangnya satu penggal, iaitu tiga tahun.
“Kita tidak terus diberikan gelaran Janang Gayuh semasa memegang jawatan Presiden kerana perlu dinilai terlebih dahulu. Sepanjang satu penggal itu, pemimpin dan masyarakat Bisaya menilai perkhidmatan kita,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa cadangan pemberian gelaran itu dibawa ke Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) PBBS sebelum pihak Majlis Tertinggi melantik ahli panel bagi memperhalusi pencalonan tersebut.
“Setelah panel berpuas hati dan mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak, gelaran Janang Gayuh akhirnya direalisasikan pada majlis tersebut,” katanya.
Janang Gayuh merupakan Pemimpin Agung bagi suku kaum Bisaya di negeri ini dan gelaran tersebut merujuk kepada pemimpin tertinggi atau tokoh yang dihormati, setara dengan gelaran Huguan Siou dalam masyarakat Kadazandusun.