MB Selangor tegas, bukan tidak matang - Danish

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung kenyaataan Ketua Penerangan Pas Selangor terhadap Amiruddin.

SHAH ALAM – Bahasa tegas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam mempertahankan fakta dan dasar kerajaan negeri terutama membabitkan isu babi tidak boleh disamakan dengan ketidakmatangan politik.

Ahli Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Danish Hairudin berkata, dalam kapasiti sebagai ketua kerajaan negeri, tindakan Amirudin itu jelas bertujuan mempertahankan dasar dan menjawab persoalan yang dibangkitkan pembangkang.

Iklan
Iklan

"Tuduhan tersebut adalah tidak adil dan gagal melihat keseluruhan konteks isu tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau menambah, tuduhan tersebut sepatutnya dinilai secara objektif berdasarkan fakta sejarah, kronologi pentadbiran dan rekod keputusan dasar.

Iklan

Sebaliknya, katanya, pembangkang tidak wajar hanya memetik potongan video atau intonasi ucapan.

"Isu penternakan babi di Selangor bukan isu baharu, malah telah berlarutan merentasi beberapa penggal pentadbiran negeri.

Iklan

"Ketika Pas menjadi sebahagian kerajaan negeri dan memegang portfolio Exco berkaitan, apakah langkah tuntas yang telah diambil ketika itu?" soal Danish.

Menurutnya, pentadbiran Amirudin telah mengambil pendekatan lebih sistematik melalui garis panduan, pemantauan dan penguatkuasaan yang tersusun berasaskan proses undang-undang, pertimbangan alam sekitar dan keseimbangan ekonomi.

"Ini ialah bentuk kematangan sebenar dalam tadbir urus menyelesaikan isu secara berstruktur dan berjangka panjang," jelas beliau.

Danish menegaskan, menuduh Menteri Besar tidak matang semata-mata kerana mempertahankan rekod pentadbiran dan mengingatkan sejarah tanggungjawab bersama adalah naratif politik yang tidak berpijak pada realiti.

Beliau turut meminta semua pihak kembali kepada disiplin fakta dan tanggungjawab sejarah dalam menilai kematangan politik kepimpinan negeri.

"Politik matang bukan sekadar bermain persepsi tetapi berani mengakui peranan dan kegagalan sendiri sebelum menuding jari kepada pihak lain," tegasnya.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan, Ketua Penerangan Pas Selangor, Dr Yusfarizal Yussoff menganggap penggunaan perkataan beremosi oleh Amirudin dalam satu video terhadap Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri tidak mencerminkan kematangan politik.

Menurut Yusfarizal, kata-kata yang dianggap keterlaluan dan kurang enak didengar itu tidak selari dengan kedudukan dan kredibiliti Menteri Besar, mahu pun suasana politik di Selangor.

Terdahulu, menerusi satu rakaman video Reels yang tular di media sosial, Amirudin berkata, pihak pembangkang tidak berani membangkitkan isu itu secara terbuka ketika mereka berada dalam kerajaan sebelum ini.