KUALA LUMPUR – Ibu bapa masih dibenar mengendalikan akaun media sosial anak berusia 16 tahun dan ke bawah dengan pemantauan sepenuhnya susulan penguatkuasan undang-undang berhubung pelaksanaan had umur minimum penggunaan aplikasi dalam talian.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu penting bagi memastikan kanak-kanak tidak menguruskan sendiri akaun media sosial, sekali gus mengelakkan diri daripada terdedah kepada ancaman tidak diingini.
"Ada ibu bapa yang membuka serta mengurus akaun anak-anak termasuk bagi tujuan kandungan digital seperti pempengaruh atau pencipta kandungan.
"Sekiranya ibu bapa yang membuka akaun untuk anak-anak, maka pengawasan akaun itu adalah pada ibu bapa.
"Kita tidak tahu mereka bercakap dengan siapa, siapa yang direct message mereka, apa yang akan jadi kepada maklumat data sekiranya ada pihak-pihak tidak bertanggungjawab berkomunikasi dengan anak-anak ini," katanya ketika sidang media selepas melancarkan sambutan Hari Internet Selamat 2026 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada Sabtu.
Sebelum ini Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dilapor berkata, pelaksanaan tersebut kini berada dalam fasa pengawalseliaan sandbox (regulatory sandbox) bagi membolehkan kerajaan menguji kaedah terbaik sebelum pelaksanaan penuh dibuat.
Menurutnya, langkah berkenaan selaras dengan Akta Keselamatan Dalam Talian (Online Safety Act, OnSA) dan perbincangan dengan penyedia platform media sosial sudah dimulakan bagi mengenal pasti pendekatan paling berkesan.
Dalam pada itu Fahmi turut mengingatkan ibu bapa supaya sentiasa menjaga maklumat peribadi keluarga, termasuk alamat rumah dan butiran sensitif lain daripada dikongsi secara terbuka di internet.
Menurutnya, perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) juga boleh disalah guna untuk menyunting gambar atau video kanak-kanak bagi tujuan tidak baik.
"Tidak menjadi masalah sekiranya ibu bapa mengendalikan, tetapi mesti sentiasa berwaspada. Mesej kita ialah gunakan internet dengan selamat,” ujarnya