PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri India Narendra Modi pada Ahad menyaksikan pertukaran 11 Memorandum Persefahaman (MoU) dan dokumen yang merangkumi pelbagai sektor kerjasama antara kedua-dua negara.
Majlis yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana di sini, diadakan sempena lawatan rasmi dua hari Modi ke Malaysia atas jemputan Anwar.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan rakan sejawatnya dari India, S Jaishankar bertukar tiga MoU antara kedua-dua kerajaan berkaitan kerjasama dalam pengurusan bencana, pembanterasan dan pencegahan rasuah serta perjanjian mengenai penerbitan bersama audio-visual.
Dokumen tambahan lain termasuk Pertukaran Surat (EoL) mengenai kerjasama pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertukaran Nota (EoN) dalam bidang semikonduktor serta penyerahan Perjanjian Rangka Kerja International Big Cats Alliance (IBCA).
Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Setiausaha Timur Kementerian Hal Ehwal Luar India, P Kumaran turut bertukar Memorandum Kerjasama antara Employees’ State Insurance Corporation (ESIC) Republik India dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta Pertukaran Nota mengenai kerjasama dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta keselamatan.
Amran dan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B N Reddy juga bertukar nota mengenai penjagaan kesihatan antara Malaysia dan India.
Antara menteri Kabinet Malaysia yang hadir ialah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Turut hadir ialah Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan selaku menteri pengiring serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Terdahulu pada Ahad, Anwar dan Modi mengadakan pertemuan empat mata yang memberi tumpuan kepada pengukuhan Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) antara kedua-dua negara.
Perbincangan merangkumi kerjasama dalam perdagangan dan pelaburan, pertahanan dan keselamatan, tenaga kerja, pelancongan, kesalinghubungan, pertanian serta pendidikan, selain isu serantau dan antarabangsa yang menarik perhatian bersama.
Hubungan India dan Malaysia telah lama terjalin dan merentasi pelbagai aspek, dengan hubungan ekonomi terus menunjukkan momentum kukuh apabila jumlah perdagangan dua hala mencecah RM79.49 bilion (AS$18.59 bilion) pada 2025.
Eksport Malaysia berjumlah RM52.3 bilion (AS$12.24 bilion) manakala import berjumlah RM27.19 bilion (AS$6.35 bilion), dengan barangan eksport utama merangkumi minyak sawit dan produk pertanian berasaskan sawit, serta produk elektrikal dan elektronik manakala import pula kebanyakannya terdiri daripada produk pertanian, petroleum dan kimia. - Bernama