SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohamed Hanifah Abu Baker mendakwa usaha mengumpulkan akuan bersumpah (SD) bukan saja bagi mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai presiden parti, malah bagi membuka laluan penubuhan kerajaan baharu bersama UMNO.
Menerusi video yang dimuat naik di Facebook, Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan itu mendedahkan bahawa perkara terbabit dimaklumkan sendiri oleh seorang pegawai salah seorang pimpinan tertinggi parti.
"Saya tanya, adakah dengan mendesak atau pun jika SD ini berjaya, kita akan tubuh kerajaan? Dan jawapan yang saya terima mengejutkan, itu mungkin punca saya tidak seronok dan akhirnya terpaksa membocorkannya.
"Jawapan yang saya terima, kalau presiden berundur dan mungkin kita akan menubuhkan kerajaan," katanya.
Jelasnya, pegawai terbabit memberitahu bahawa wakil Presiden UMNO, mengadakan pertemuan dan menyatakan persetujuan untuk keluar daripada Kerajaan Perpaduan serta bersama dengan Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan baharu sekiranya Bersatu dipimpin oleh pemimpin berkenaan.
"Saya terpaksa meyakinkan beliau untuk mengatakan saya mungkin bersetuju dan meminta supaya diserahkan SD itu.
"Saya bukan khianat tapi untuk menyelamatkan parti, saya telah serahkan SD itu kepada pimpinan Bersatu supaya dibawa kepada pengetahuan Presiden," katanya.
Selain itu, beliau turut mempersoalkan kenyataan Datuk Wan Saiful Wan Jan yang memberitahu SD yang dikumpulkan daripada 120 Ketua Bahagian Bersatu bertujuan menyokong Tan Sri Muhyiddin mengatur pelan peralihan parti, bukan mendesak beliau meletak jawatan.
"Mengapa perlu ada SD menyokong presiden? Kalau sudah sokong kita jalankan sahaja kerja kita, tanggungjawab kita," katanya.
Beliau turut berikrar untuk menyelamatkan parti dengan tidak membenarkan lagi mana-mana pihak berusaha untuk terus mengelirukan ahli-ahli parti berhubung isu dalaman yang berlaku.