'Lori lalu tak kira masa, kesesakan makin meningkat'

Iklan
Lori yang menggunakan laluan Jalan Gelang Patah pada waktu puncak menyebabkan kesesakan meningkat. Gambar kecil dari kiri: Yen Chai, Shahrul Syafiq dan Hussin

ISKANDAR PUTERI - Pergerakan lori muatan berat dan treler tanpa had masa menyebabkan kesesakan trafik meningkat di laluan Jalan Gelang Patah menghala Pendas terutama pada waktu puncak.

Seorang peniaga kedai runcit, Gan Yen Chai, 69, berkata, jumlah kenderaan berat yang menggunakan laluan tersebut turut mengancam keselamatan pengguna lain.

Iklan
Iklan

“Lori lalu tak kira masa memang boleh jadi sesak, lebih-lebih lagi bila orang ramai balik kerja.

"Biasanya jam 5 petang dah mula sesak. Saya harap perjalanan lori boleh dijadualkan semula pada waktu kurang sibuk,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Sementara itu, menurut penduduk Kampung Muafakat Baru, Shahrul Syafiq Syahrul Izam, 28, laluan tersebut kerap dijadikan jalan pintas oleh kenderaan berat ke kilang dan tapak pembinaan kawasan perumahan.

Ujarnya, langkah mengehadkan waktu tertentu boleh dilaksanakan segera supaya trafik lebih lancar sebelum keadaan menjadi sukar dikawal.

Iklan

"Kalau boleh, biarlah ada masa tertentu lori dibenarkan lalu,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Hussin Moson Ali, 28, berkata, pernah berlaku kemalangan di laluan berkenaan melibatkan lori dan kereta.

“Kena ada kawalan waktu untuk melancarkan trafik, sekali gus dapat mengurangkan risiko kemalangan,” katanya.