KUANTAN – Sikap degil segelintir pemandu kenderaan berat yang melanggar waktu larangan menggunakan Jalan Permatang Badak di sini mengundang ancaman keselamatan kepada pengguna lain.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, lori membawa muatan batu dan pasir tetap memasuki laluan yang menghubungkan Gambang dan Kuantan Bypass walaupun terdapat papan tanda peringatan larangan waktu beroperasi iaitu dari jam 11.30 pagi hingga 2.30 petang dan 4 petang hingga 7 malam.
Dianggarkan lebih 30 lori menggunakan laluan itu silih berganti tanpa menghiraukan peningkatan trafik ketika waktu pelajar pulang dari sekolah.
Seorang peniaga kedai makan, Amir Azwan Mat Rusli, 40, berkata, meskipun dua papan tanda peringatan dipasang di kawasan berhampiran, namun ia tidak diendahkan oleh pemandu kenderaan berat.
"Mereka bergerak tak tentu masa. Bila ada penguat kuasa, mereka hilang sekejap tapi selepas operasi tamat, mereka sambung balik.
“Ibu bapa memang risau dengan keselamatan pelajar. Kalau ada bonggol sekurang-kurangnya dapat kurangkan kelajuan lori-lori ini," katanya.
Keresahan sama disuarakan oleh seorang pesara, Nazim Maarof, 53. Menurutnya, kekerapan lori muatan berat menggunakan laluan tersebut menyebabkan kerosakan pada permukaan jalan bertar.
“Saya harap pihak berkuasa lebih kerap melakukan operasi di sini supaya pemandu kenderaan berat mematuhi larangan had masa yang ditetapkan," ujarnya.
Sementara itu, Mohd Hafiz Mat Yusof, 35, pula berkata, kehadiran lori yang tidak mengira masa turut membahayakan pengguna motosikal seperti dirinya.
"Setiap kali lalu jalan ini, memang cuak dan berdebar kerana takut terhimpit lori.
"Mereka lalu dengan laju dan bila kita melintas atau berada di tepi jalan, gegaran terasa sangat kuat,” katanya.