Gagal hadir kes rasuah, mahkamah keluarkan waran tangkap dua pegawai Imigresen

Iklan
Mahkamah mengeluarkan waran tangkap dua pegawai Imigresen kerana kedua-duanya gagal menghadirkan diri untuk dituduh berkaitan kes rasuah. Foto hiasan

JOHOR BAHRU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor memperoleh perintah waran tangkap terhadap dua orang pegawai Imigresen kerana kedua-duanya gagal menghadirkan diri untuk dituduh berkaitan kes rasuah.

Menurut sumber, perintah itu dikeluarkan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail selepas pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya SPRM Chan Lee Lee dan Ameera D’Aneez Mohd Shukari memohon satu waran tangkap dikeluarkan terhadap kedua-dua tertuduh.

Iklan
Iklan

“Sebelum itu, peguam kedua-dua tertuduh, Saleh Tukimin memberitahu mahkamah kedua-dua anak guamnya dalam tempoh cuti sakit di mana seorang mengalami slip disc dan seorang lagi mengalami masalah tyroid.

“Susulan itu, mahkamah kemudian menetapkan pendakwaan terhadap kedua-dua tertuduh dilakukan sebelum 25 Februari 2026,” menurut sumber berkenaan.

Iklan

Sebelum ini, pertuduhan kali pertama untuk kedua-dua tertuduh telah ditetapkan pada 21 Januari lalu bagaimanapun kedua-duanya gagal hadir.

Mahkamah kemudiannya telah menetapkan semalam untuk pertuduhan kali kedua namun kedua-dua tertuduh turut gagal hadir.

Iklan

Kedua-dua tertuduh sepatutnya didakwa mengikut kes berkaitan perbuatan rasuah yang didakwa berlaku di Pejabat Imigresen Terminal Pasir Gudang di sini pada 22 September 2024.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh disyaki secara bersama telah menerima wang berjumlah RM100 sebagai dorongan untuk tidak menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap dokumen perjalanan seorang warga Indonesia.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim ketika dihubungi mengesahkan maklumat tersebut.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.