TUMPAT - Tiga lelaki yang bertindak sebagai tekong darat melarikan diri dengan meninggal 24 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk seorang kanak-kanak selepas kegiatan itu berjaya dihidu polis pada Khamis.
Serbuan jam 5 pagi itu dilakukan di kawasan tebing sungai dekat Pasir Pekan Hulu, Wakaf Bharu di sini oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, kesemua PATI yang ditahan itu terdiri daripada warganegara Myanmar, China, Bangladesh dan Afghanistan berusia antara dua hingga 42 tahun.
"Semasa serbuan dilakukan ketiga-tiga lelaki tempatan yang bertindak sebagai tekong darat melarikan diri selepas polis menahan tiga kenderaan iaitu dua jenis Nissan X-trail dan satu lagi Honda City," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, kesemua kenderaan itu disyaki digunakan dalam kegiatan penyeludupan migran masuk ke negara ini.
Katanya, siasatan awal mendedahkan kesemua migran tersebut telah memasuki negara ini dengan menaiki bot dari Thailand.
Mohd Khairi memberitahu, semakan mendapati kesemua migran tersebut tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.
"Kesemua migran dan kenderaan telah dibawa ke IPD Tumpat untuk siasatan lanjut.
"Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tumpat telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 55E & 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63," ujarnya.