KUALA LUMPUR - Dua warga Singapura terjerat sindiket dadah selepas dipercayai dibayar RM10,000 setiap seorang serta pakej melancong bagi membawa bunga ganja ke United Kingdom (UK).
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan Op Diogma pertama pada 2 Februari di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang berjaya menahan tiga suspek iaitu seorang lelaki tempatan dan dua lagi warga Singapura termasuk seorang wanita.
Menurutnya, pemeriksaan merampas 60 bungkusan plastik disyaki dadah bunga ganja seberat kira-kira 33 kilogram (kg).
"Siasatan awal mendapati dua suspek warga asing itu dipercayai dijadikan keldai dadah bagi penyeludupan keluar negara.
"Susulan itu, serbuan kedua dijalankan di sebuah rumah di Bandar Damai Perdana, Cheras dan merampas 254 bungkusan plastik disyaki berisi bunga ganja seberat 133kg," katanya krtika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, serbuan ketiga di sebuah hotel di Taman Equine, Selangor berjaya menahan dua lelaki tempatan dengan rampasan 4 bungkusan plastik disyaki berisi bunga ganja seberat 22kg dalam sebuah Toyota Cross.
Tambahnya, bertindak atas maklumat, pada 3 Februari, seorang wanita tempatan ditahan di hadapan sebuah premis di Bayan Lepas, Pulau Pinang.
"Suspek wanita ini dipercayai merupakan teman wanita kepada suspek keempat yang turut terlibat dalam rangkaian sindiket pengedaran terbabit," katanya.
Kata beliau, keseluruhan bunga ganja yang dirampas dianggarkan seberat 18 kg dengan nilai RM15 juta.
Dedahnya, suspek pertama berperanan sebagai ketua sindiket, suspek kedua dan ketiga iaitu warga Singapura merupakan keldai dadah, manakala suspek keempat dan kelima berperanan sebagai transporter.
"Sindiket dipercayai aktif sejak Januari lalu dengan modus operandi mereka ialah menyeludup bunga ganja melalui laluan haram di Padang Besar, Perlis sebelum dibawa ke Lembah Klang bagi tujuan pasaran tempatan dan antarabangsa," ujarnya.
Tegasnya, kesemua suspek direman tujuh hari sehingga 9 Februari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan nilai sitaan bernilai RM110,000 membabitkan sebuah Perodua Alza, Mazda 6, seutas gelang tangan emas dan pelbagai wang tunai," ujarnya.
Kata beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terlibat dalam pengedaran dadah yang mengancam keselamatan, kesejahteraan rakyat serta mencemarkan imej dan maruah negara.