VICTORIA– Sekurang-kurangnya 40 individu, termasuk kanak-kanak, mengalami kecederaan dalam satu serangan ikan piranha yang mengejutkan di Sungai Paraná berhampiran bandar Victoria,Argentina pada hujung minggu lalu.
Insiden itu berlaku ketika orang ramai sedang menyejukkan diri dalam air.
Mangsa dilaporkan mengalami luka gigitan, dengan seorang individu kehilangan sebahagian jari akibat serangan ganas ikan karnivor itu.
Pegawai hospital, Fermín Salaberry berkata, pusat kecemasan menerima ramai pesakit sepanjang hujung minggu, termasuk kanak-kanak dan orang dewasa yang cedera akibat gigitan ikan piranha.
Pengawal pantai, Alejandro Martin, mengesahkan bahawa 46 individu cedera, kebanyakannya mengalami kecederaan serius.
Dalam kejadian itu, beliau terpaksa menggunakan tiga kit pertolongan cemas untuk merawat mangsa dan mengarahkan orang ramai keluar dari sungai serta menutup sementara kawasan itu bagi tujuan keselamatan.
Kawasan itu turut dinaikkan bendera amaran merah sebagai isyarat bahaya ekstrem.
Pegawai hospital menegaskan bahawa tanda amaran sudah dipasang di sepanjang tebing sungai, namun ramai pengunjung masih memasuki zon larangan.
Pihak berkuasa menasihati orang ramai agar mematuhi arahan keselamatan, memantau kanak-kanak dengan ketat, dan segera mendapatkan rawatan perubatan sekiranya digigit.
Ahli ekologi dan pakar hidupan akuatik menegaskan bahawa serangan ikan piranha biasanya berlaku di perairan cetek.
Paras Sungai Paraná yang kini berada pada tahap rendah, terutamanya semasa musim panas, meningkatkan aktiviti ikan piranha berhampiran tebing.
Keadaan ini menimbulkan risiko tinggi kepada perenang yang tidak sedar tentang bahaya di kawasan itu.
Serangan ini telah menimbulkan desakan agar langkah-langkah keselamatan yang lebih ketat diambil.
Martin mencadangkan pemasangan jaring pelindung setinggi dua meter, lengkap dengan rantai dan pelampung, di kawasan tumpuan ramai.
Langkah ini bertujuan mengurangkan kontak langsung antara perenang dan ikan piranha, terutamanya di kawasan yang padat pengunjung, sehingga April.
Tragedi ini berlaku beberapa minggu selepas seorang kanak-kanak berusia dua tahun, Clara Vitoria, maut dalam insiden serangan ikan piranha berhampiran rumahnya di Brazil.
Clara dilaporkan terjatuh ke dalam sungai melalui lubang terapung tanpa pagar keselamatan dan dimakan oleh ikan karnivor itu sebelum sempat diselamatkan. - Agensi