PM mahu peranan Majlis Media Malaysia diperkukuh demi kebebasan media - Fahmi

Iklan
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil bercakap pada sidang media selepas menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Zchwantech Cybersecurity Sdn Bhd dan Magna AI pada Khamis. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu peranan Majlis Media Malaysia (MMM) diperkukuhkan bagi memastikan kebebasan media, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Fahmi, yang juga Jurucakap Kerajaan Madani berkata, perkara itu disampaikan oleh Perdana Menteri kepada beliau menerusi panggilan telefon tengah malam tadi.

Iklan
Iklan

"Perdana Menteri membuat panggilan kepada saya tengah malam tadi untuk membincangkan perkara ini dan apa yang beliau lihat adalah (perlu) memantapkan Majlis Media Malaysia," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Zchwantech Group dan Magna AI, di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri berkata, kerajaan bersedia memberikan ruang kebebasan media yang lebih terbuka termasuk mempertimbangkan kajian semula undang-undang berkaitan, selaras dengan kematangan negara.

Iklan

Fahmi berkata, kerajaan menyediakan Dana Inovasi Media bagi membantu lebih banyak syarikat dan organisasi media berdepan perubahan mendadak seperti kehilangan perbelanjaan pengiklanan serta isu produktiviti pekerja akibat cabaran teknologi.

Beliau berkata, beberapa perkara akan disusuli melalui perbincangan lanjut bersama MMM memandangkan badan bebas itu dilihat paling sesuai mewakili industri untuk membincangkan hala tuju serta keperluan sebenar pengamal media di negara ini.

Iklan

Katanya usaha juga sedang dijalankan untuk mendapatkan sebuah pejabat bagi MMM sebagai langkah permulaan sebelum badan itu meneliti dan memperhalusi peranan serta perkara-perkara berkaitan secara lebih menyeluruh.

Fahmi berkata antara kebimbangan yang turut dibangkitkan ialah aspek etika kewartawanan khususnya apabila terdapat perbezaan ketara antara tajuk utama dan kandungan berita dilaporkan.

"Saya percaya rakan-rakan media cakna terhadap isu tersebut dan dalam beberapa keadaan, laporan yang dihasilkan di lapangan berbeza apabila melalui proses penyuntingan di peringkat ketua pengarang.

"Mungkin di situ kita lihat ada beberapa perkara boleh kita bantu untuk tambah baik," katanya.

MMM merupakan badan bebas yang ditubuhkan sebagai mekanisme kawal selia kendiri industri media negara dan berperanan mempromosikan etika kewartawanan dan kebebasan media.

Penubuhannya selari dengan Akta Majlis Media Malaysia (MMM) yang mula berkuat kuasa pada 14 Jun 2025. - Bernama