Bas ekspres langgar belakang treler punca kemalangan maut

Iklan
Kemalangan maut membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 433 Lebuhraya PLUS arah selatan berhampiran Rawang awal pagi tadi dipercayai berpunca daripada sebuah bas ekspres melanggar bahagian belakang sebuah treler.

KUALA LUMPUR - Kemalangan maut membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 433 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Rawang awal pagi tadi dipercayai berpunca daripada sebuah bas ekspres melanggar bahagian belakang sebuah treler.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintenden Ibrahim Husin berkata, kejadian berlaku apabila bas dalam perjalanan dari Alor Setar ke ibu negara itu yang dipandu di lorong kiri, melanggar sebuah treler sehingga menyebabkan kenderaan berat berkenaan terbabas ke lorong kanan.

Iklan
Iklan

"Keadaan itu menyebabkan sebuah lori yang berada di lorong kiri cuba mengelak bas terbabit sebelum melanggar belakang treler yang melintang di lorong tengah dan kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semasa kejadian, bas ekspres dipandu lelaki berusia 39 tahun itu membawa 22 penumpang dan seorang pemandu simpanan.

Iklan

Ibrahim berkata, kemalangan menyebabkan pemandu lori berusia 37 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit.

"Pemandu bas, pemandu treler, kelindan lori serta lima penumpang bas mengalami cedera ringan dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh. Penumpang yang tidak cedera dibawa ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menggunakan bas gantian,” katanya.

Iklan

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama