Restoran basuh lebihan makanan: KKM takkan berkompromi

Iklan
Dr Dzulkefly

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) memberi amaran keras kepada pengusaha makanan dan minuman supaya tidak mengamalkan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh membahayakan kesihatan awam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang amalan yang mendedahkan orang ramai kepada risiko serius termasuk keracunan makanan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, semua pengusaha makanan dan minuman harus sentiasa mematuhi peraturan. 

“Peringatan telah diberikan berulang kali sebelum ini. Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan kerana perbuatan yang tular sebelum ini secara langsung menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

Iklan

“Kami tidak akan bertolak ansur terhadap amalan yang sangat tidak bertanggungjawab hingga membahayakan orang ramai. Tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan dengan tegas tanpa kompromi jika berlaku pelanggaran undang-undang keselamatan makanan dan syarat yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Kanser Sedunia 2026 di sini, Rabu.

Iklan

Dr Dzulkefly berkata, KKM sejak sekian lama menekankan aspek kualiti dan keselamatan makanan menerusi pelbagai inisiatif termasuk pelaksanaan program Bersih, Sihat dan Selamat (BeSS), selain penguatkuasaan berterusan.

“Walaupun pelbagai pendekatan telah dilaksanakan termasuk penguatkuasaan, masih terdapat segelintir pengusaha yang menjejaskan imej industri sedangkan ramai yang mematuhi peraturan dengan ketat dan serius menjaga keselamatan makanan. Ini sangat mengecewakan,” ujar beliau.

Beliau berkata, pegawai penguat kuasa akan terus mengambil tindakan tegas termasuk mengenakan kompaun serta penalti lain terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang, khususnya membabitkan aspek keselamatan makanan.

Baru-baru ini, tular satu video di media sosial memaparkan dakwaan seorang pejalan kaki yang melihat pekerja sebuah restoran nasi kandar mencuci semula lebihan makanan seperti ayam, kambing dan tauhu sebelum menyusunnya kembali ke dalam dulang.

Individu tersebut mendakwa, pekerja itu mengakui sisa makanan sedang dibasuh untuk digunakan semula walaupun sudah ditegur.

Susulan kejadian itu, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) mengarahkan penutupan premis berkenaan selama 14 hari mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983 serta mengeluarkan notis kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Majlis Bandaraya Seremban (MBS) turut mengeluarkan tiga kompaun berjumlah RM750 terhadap pemilik perniagaan berkenaan, termasuk kesalahan menjalankan perniagaan tanpa kebenaran, mempamerkan iklan tanpa kelulusan dan gagal menjaga kebersihan premis serta tiada jadual pembersihan tandas.