KUALA LUMPUR – Malaysia kini berdepan cabaran besar dari segi kekurangan pakar onkologi apabila setakat ini jumlah tenaga pakar dalam bidang tersebut hanya seramai 184 orang.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya mengakui bilangan pakar onkologi sedia ada masih tidak mencukupi untuk memberikan perkhidmatan yang menyeluruh kepada pesakit kanser, khususnya penduduk di luar bandar.
“Setakat ini kita mempunyai seramai 184 pakar onkologi (data 2025), meningkat 60 peratus berbanding 2019. Daripada jumlah itu, 65 orang berkhidmat di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), 107 orang di sektor swasta manakala selebihnya masih dalam latihan.
“Ya, kita berdepan kekurangan tenaga pakar onkologi. Matriks ideal yang kita mahukan masih belum tercapai. Atas dasar itu, saya menyebut tentang penggunaan pendekatan kluster untuk mendapatkan khidmat pakar di hospital utama.
“Ini supaya hospital utama dapat memberikan perkhidmatan kepada hospital daerah atau hospital tanpa pakar serta mengambil kira model penjagaan bukan sahaja di hospital, tetapi juga lebih hampir dengan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Kanser Sedunia 2026 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini pada Rabu.
Justeru, kata Dr Dzulkefly, program Wiran Kanser yang menggunakan pendekatan ‘closer to home’ diperkenalkan hari ini bertujuan merapatkan jurang akses bagi golongan B40 dan penduduk luar bandar supaya saringan serta rawatan awal dapat dilaksanakan dengan lebih meluas.
Tambah beliau, Wiran Kanser yang dijayakan hasil kerjasama dengan SBS Nexus dan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) merupakan satu anjakan paradigma yang melibatkan naungan Keluarga Diraja bagi enam jenis kanser utama di Malaysia iaitu payudara, kolorektal, paru-paru, serviks, genitourinari serta kanser kanak-kanak.
Katanya lagi, kerjasama strategik bersama 13 badan bukan kerajaan (NGO) turut dilaksanakan bagi memperkemas aktiviti pencegahan, kawalan penyakit serta penyampaian perkhidmatan sokongan kepada pesakit secara lebih bersepadu.
“Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2025 melaporkan kanser sebagai punca kematian ketiga tertinggi di Malaysia, meningkat daripada 13.8 peratus pada 2023 kepada 14.3 peratus pada 2024.
“Bagi menangani beban penyakit ini, KKM akan memberi tumpuan kepada empat inisiatif utama merangkumi pencegahan, promosi, advokasi dan saringan bagi tujuan pengesanan awal serta rawatan awal kanser, antaranya melalui program Wiran Kanser,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau berkata, pihak kementerian turut memperkenalkan Kempen Mai Kurang (Gula, Garam dan Kalori), iaitu inisiatif transformasi kesejahteraan tempat kerja dengan menyasarkan penglibatan 150 syarikat menerusi Cabaran 50 Juta Kalori bagi menggalakkan pengurangan pengambilan tiga bahan tersebut.
Selain itu, Dr Dzulkefly berkata Program Akses Nutrisi Kanser turut diperkenalkan bagi meningkatkan akses kepada pemakanan bernutrisi mencukupi untuk pesakit kanser bagi menyokong proses pemulihan mereka.
“Kajian menunjukkan peningkatan kes kanser berkait rapat dengan faktor pemakanan dan obesiti.
“Justeru, perjuangan melawan kanser pada 2026 ini mesti bermula dengan anjakan minda. Hospital adalah benteng terakhir, namun benteng pertama bermula di pinggan makan dan gaya hidup seharian.
“Kita bukan sahaja mahu cekap merawat kanser, tetapi juga lebih cekap mencegahnya daripada berlaku,” katanya.