‘Hannah patut sensitif pelantikan Datuk Bandar KL perlu perkenan Agong’ – Puad

Iklan
Mohd Puad

SHAH ALAM – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menegur Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh yang didakwa sepatutnya lebih sensitif terhadap peruntukan undang-undang berkaitan pelantikan Datuk Bandar Kuala Lumpur yang memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Beliau menegaskan, perkara itu jelas termaktub di bawah Akta Ibu Kota Persekutuan 1960, namun seolah-olah tidak diambil kira.

Iklan
Iklan

“Barangkali ramai tidak sedar bahawa pelantikan Datuk Bandar Kuala Lumpur perlu mendapat perkenan Agong. Itu ada dalam undang-undang khususnya Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.

“Sekarang Hannah kata kajian itu bukan kajian DAP, ia kajian Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau minta jangan takut. Tetapi beliau juga dilaporkan berkata akan bentang laporan itu kepada orang ramai untuk disemak atau komen.

Iklan

“Itu bermakna kementerian (turut) terlibat. Itu juga bermakna beliau tidak sensitif kepada kuasa prerogatif Agong yang ada dalam perlembagaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Tambah Mohd Puad, rakyat tidak marah jika kajian UIAM itu untuk meningkatkan akauntabiliti, profesionalisme dan mengurangkan birokrasi apatah lagi supaya datuk bandar bebas daripada tekanan politik.

Iklan

“Tetapi bukan pilihan raya melantik Datuk Bandar Kuala Lumpur. Hannah patut lebih peka perkara ini,” ujarnya lagi.

Pada Selasa, Hannah yang juga Timbalan Setiausaha Agung DAP dilapor berkata, kajian berhubung cadangan pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur bukan dilaksanakan oleh DAP sebaliknya dijalankan oleh UIAM.

Menurutnya, kajian terbabit dijalankan sejak Disember lalu di bawah bekas menteri yang menjaga hal ehwal Wilayah Persekutuan sebelum ini.

Kenyataan Hannah mengenai kajian berkenaan mencetuskan kritikan dan bantahan beberapa pihak termasuk Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh serta Ahli MKT UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii.

Dr Muhamad Akmal menegaskan cadangan terbaharu itu adalah kesinambungan usaha sebelum ini, termasuk cadangan Pembaharuan Semula Bandar (PSB) dan pilihan raya PBT yang ditentang.

Mohd Razlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Seputeh pula menyifatkan agenda pilihan raya PBT sebagai satu tindakan politik yang berisiko merugikan rakyat kerana dari sudut pengurusan awam, pelaksanaannya akan menuntut peruntukan dana besar.

Kata beliau, dana tersebut seharusnya dimanfaatkan untuk memperkukuh perkhidmatan asas seperti kebersihan bandar, pengangkutan awam, penyelenggaraan infrastruktur dan kesejahteraan komuniti setempat.