KUALA LUMPUR – Datuk Wan Saiful Wan Jan mengulangi pelawaan kepada Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli untuk bekerjasama membentangkan semula Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Pemisahan Jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan di Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata, pelawaan berkenaan disuarakan dalam pertemuan ringkas dengan Rafizi di Parlimen pada pagi Rabu.
“Minggu lalu saya telah mengutus surat rasmi kepada Rafizi untuk menawarkan secara rasmi usaha bersama tersebut. Sebentar tadi, saya bertemu ringkas dengan beliau di Dewan Rakyat untuk sekali lagi mengajak ke arah kerjasama ini.
“Saya amat berharap agar Rafizi sudi menerima jemputan ini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Dalam ucapan di Dewan Rakyat pada hujung bulan lalu, Wan Saiful secara terbuka mengajak bekas Menteri Ekonomi itu membentangkan semula RUU berkenaan dan turut menawarkan diri sebagai pengusul bersama sekiranya perlu.
Sepucuk surat turut dihantar kepada Rafizi minggu lalu bagi menyatakan hasrat tersebut secara rasmi.
Dalam pada itu, Wan Saiful memaklumkan beliau turut mencadangkan kepada Rafizi supaya draf sedia ada dapat dikongsikan untuk tindakan selanjutnya sekiranya Ahli Parlimen Pandan itu berdepan sebarang kekangan.
Rafizi sebelum ini membentangkan RUU bertajuk Akta Pemisahan Jawatan (Perdana Menteri dan Menteri Kewangan) 2015 di Parlimen pada September 2015, namun ia ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat ketika itu, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
RUU berkenaan memperuntukkan bahawa seorang menteri hanya boleh memegang satu jawatan Kabinet, dengan Perdana Menteri memilih Menteri Kewangan daripada kalangan Ahli Parlimen atau Senator.
Pada 20 Januari lalu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN–Larut) turut menyatakan kesediaan menyokong cadangan Putrajaya bagi mengehadkan tempoh jawatan seseorang Perdana Menteri kepada dua penggal.
Pembangkang menetapkan had tempoh tersebut disertakan dengan klausa yang turut menghalang seseorang Perdana Menteri daripada memegang portfolio kewangan pada masa yang sama.