Manusia vs AI: Siapa pantau siapa?

Iklan
Dalam dunia digital, keseimbangan antara privasi dan kemudahan menjadi pusat perbincangan. Foto hiasan

DALAM dunia digital hari ini, manusia semakin rajin memantau, bukan sahaja jiran, tetapi juga skrin.

Setiap klik, setiap carian, setiap like menjadi bahan data. Dan data, seperti kata orang bijak Silicon Valley, ialah minyak baharu dunia moden. Bezanya, minyak boleh bocor sekali-sekala tapi data kita bocor hampir setiap bulan.

Iklan
Iklan

Apabila pihak berkuasa mengumumkan usaha memperketat kawal selia ruang siber, alasannya sentiasa mulia iaitu keselamatan, perlindungan, kesejahteraan rakyat.

Platform pula berkata, algoritma mereka menjaga komuniti. AI pula diam, tetapi bekerja tanpa cuti, menyusun corak tingkah laku kita lebih teliti daripada ahli psikologi.

Iklan

Apa yang lucunya bagi Merak Jalanan, rakyat yang sama mengeluh tentang pengawasan digital juga dengan rela hati menekan Accept All Cookies tanpa membaca satu baris pun. Privasi hari ini sering ditukar dengan kemudahan dan kadangkala dengan baucar penghantaran percuma.

Merak Jalanan risau juga bila teknologi tahu terlalu banyak. Tetapi pada masa sama, kita sendiri mengajar teknologi itu mengenali kita sama ada melalui gambar, suara, lokasi dan minat yang dipamerkan saban hari.

Iklan

Maka timbul persoalan yang jarang ditanya iaitu adakah pengawasan wujud kerana teknologi terlalu berkuasa atau kerana manusia terlalu selesa menyerahkan kuasa?

Barangkali isu sebenar bukan siapa memantau siapa. Tetapi sejauh mana kita masih sedar kita sedang diperhati.

Dalam dunia serba pintar ini, Merak Jalanan fikir mungkin perkara paling berisiko bukanlah AI yang semakin canggih, tetapi manusia yang semakin lalai.

Kerana akhirnya, pengawasan paling berkesan bukan datang dari mesin tetapi tabiat manusia sendiri yang sukar berhenti berkongsi.