SHAH ALAM - Dua Ahli Parlimen pembangkang turut menolak dan membantah cadangan untuk mengadakan pilihan raya jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menegaskan, ini kerana ada perkara yang perlu diutamakan.
"Utamakan perpaduan rakyat dan jurang kaya miskin mesti diselesaikan dulu.
"Oleh itu, rakyat Malaysia harus tolak pilihanraya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Dato Bandar," katanya menerusi laman Facebook pada Isnin.
Memetik laporan portal Malaysiakini pada Ahad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dilaporkan berkata, pilihan raya sedemikian dilihat lebih praktikal berbanding memilih ramai ahli majlis bandar raya menerusi pilihan raya kerajaan tempatan.
Menurut beliau, struktur pentadbiran sedia ada melibatkan terlalu banyak unit, dengan ibu negara ketika ini ditadbir secara serentak oleh seorang Datuk Bandar, ahli-ahli Parlimen serta penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang juga Ketua Penerangan Pas berpendapat, kedua-dua cadangan dari pemimpin DAP itu tidak boleh diterima.
"Pilihanraya PBT dan Pilihanraya Datuk Bandar, kedua-duanya wajib ditolak!" ujarnya.