SEPANG – Cubaan seorang lelaki warga Perancis menyeludup tanduk dan tengkorak rusa ke luar negara gagal apabila ditahan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 di sini pada Ahad.
AKPS dalam kenyataan memaklumkan, ia hasil pemeriksaan bagasi milik seorang penumpang sebuah syarikat penerbangan yang dijadualkan berlepas ke Hanoi pada jam 12 tengah hari.
"Hasil pemeriksaan mendapati lelaki itu membawa barangan disyaki hidupan liar tanpa kebenaran atau dokumen sah.
"Antara barangan yang disita ialah dua unit disyaki tanduk rusa dan satu unit disyaki tengkorak rusa dengan anggaran nilai RM3,000," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, suspek telah ditahan dan dibawa ke Balai Polis Aeropolis bagi siasatan lanjut. Kes ini disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686].
"Kesemua barang kes telah diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara untuk tindakan selanjutnya.
"AKPS menegaskan komitmen berterusan untuk memperkukuh kerjasama bersama agensi penguatkuasaan lain dalam membanteras sebarang bentuk jenayah rentas sempadan, khususnya melibatkan pemerdagangan hidupan liar di pintu masuk antarabangsa negara," katanya.