Memorandum Ultras dalam perhatian FAM

Iklan
Noor Azman

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menerima memorandum daripada kumpulan penyokong Ultras Malaya yang diserahkan ketika Kongres Luar Biasa badan induk itu berlangsung pada Khamis.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, memorandum berkenaan diserahkan kepadanya di hotel yang menjadi lokasi kongres berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pertemuan bersama wakil kumpulan penyokong itu bagaimanapun tidak dapat diadakan bagi membincangkan kandungan memorandum berkenaan berikutan keadaan ketika itu yang tidak mengizinkan.

Beliau berkata, perkara berkenaan akan dibawa kepada barisan Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM yang baharu untuk penelitian dan perbincangan lanjut.

Iklan

"Ada sahabat daripada Ultras datang bawa satu surat dan serahkan kepada saya selaku setiausaha agung. Selepas itu dia minta untuk berbincang.

"Kita bukan tak nak berbincang tadi, tapi kerana polis ramai sangat dan keadaan tidak sesuai. Kita tunggu presiden dan kemudian bincang dengan Exco baharu. Selepas itu kita akan jumpa dan serahkan kepada Exco baharu untuk menilai perkara itu," katanya.

Iklan

Sebelum ini, Ultras Malaya melancarkan kempen boikot terhadap aksi Harimau Malaya susulan beberapa isu yang melanda bola sepak negara, termasuk kontroversi membabitkan pemalsuan dokumen tujuh pemain serta perkembangan Liga Malaysia.

Beberapa kumpulan ultras turut dilaporkan menyerahkan memorandum kepada kelab dan Persatuan Bolasepak Negeri masing-masing bagi mendapatkan pendirian berhubung isu yang dibangkitkan.

Noor Azman ketika ditemui selepas sidang media itu turut memaklumkan beliau belum dapat menjelaskan kandungan memorandum tersebut kerana baru menerimanya.

"Saya baru sahaja terima memorandum tadi dan belum sempat membaca kandungannya. Jadi saya perlu baca terlebih dahulu," katanya.