Cadangan pilihan raya Datuk Bandar KL masih mentah, selindung disebalik reformasi - Sukri

Iklan
Mohamed Sukri (kiri) berkata mengadakan pilihan raya Datuk Bandar tanpa membetulkan kecelaruan ini hanya akan memindahkan masalah, bukannya menyelesaikannya.

SHAH ALAM – Cadangan berhubung kajian kebolehlaksanaan pilihan raya jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur perlu diteliti dengan lebih berhati-hati dan rasional.

Ketua Pemuda Pas Selangor, Sukri Omar berkata, beberapa perkara asas perlu ditegaskan secara berprinsip dan berfakta, selain tidak wajar dilaksanakan secara tergesa-gesa dengan berselindung di sebalik agenda reformasi.

Iklan
Iklan

“Kekeliruan tentang pihak yang perlu dirujuk oleh Datuk Bandar sebenarnya berpunca daripada kegagalan menyusun struktur kuasa dan mekanisme semak dan imbang antara kerajaan Persekutuan, ahli Parlimen dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Mengadakan pilihan raya Datuk Bandar tanpa membetulkan kecelaruan ini hanya akan memindahkan masalah, bukannya menyelesaikannya,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Isnin.

Iklan

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dilaporkan mengarahkan kementeriannya menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi mengadakan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Memetik laporan portal berita, Hannah berkata, pilihan raya sedemikian dilihat lebih praktikal berbanding memilih ramai ahli majlis bandar raya menerusi pilihan raya kerajaan tempatan.

Iklan

Dalam pada itu, Sukri mendakwa pemilihan Datuk Bandar tanpa kewujudan majlis bandar raya yang dipilih rakyat berpotensi mewujudkan satu pusat kuasa yang lebih kuat dan sukar dikawal.

Menurutnya, keadaan itu bercanggah dengan prinsip tadbir urus baik yang menuntut kuasa diagihkan dan diawasi, bukannya dipusatkan kepada satu individu walaupun dipilih melalui pilihan raya.

“Kuala Lumpur bukan sebuah bandar biasa, sebaliknya merupakan Wilayah Persekutuan yang mempunyai implikasi Perlembagaan, sejarah serta keseimbangan sosial tersendiri.

“Sebarang perubahan besar, termasuk pilihan raya tempatan, mesti mengambil kira realiti demografi, kedudukan Melayu Bumiputera serta peranan Raja Berperlembagaan, dan bukan sekadar meniru model luar.

“Apabila menteri sendiri mengakui bahawa kelayakan pengundi masih belum jelas sama ada berdasarkan pemilikan rumah, status penyewa atau tempat kerja, ini menunjukkan cadangan tersebut masih mentah,” ujarnya.