SHAH ALAM - Menteri diingatkan supaya tidak menjolok sarang tebuan dengan melontarkan cadangan yang tidak dipersetujui oleh parti gabungan.
Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Khairuddin Takiri berkata demikian susulan laporan mengenai kajian kebolehlaksanaan bagi mengadakan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.
Beliau turut menegaskan bahawa pilihan raya berkenaan tidak diperlukan.
"Wahai Menteri, jangan dijolok sarang tebuan dengan melontar perkara yang parti gabungan tidak persetujui.
"Pilihanraya kerajaan tempatan termasuk pilihanraya Datuk Bandar Kuala Lumpur tidak diperlukan.
"Cukuplah pilihanraya yang ada telah memetakkan masyarakat," katanya ringkas menerusi kenyataan di Facebooknya pada Ahad.
Laporan Sinar Harian sebelum ini, Hannah berkata, pilihan raya sedemikian dilihat lebih praktikal berbanding memilih ramai ahli majlis bandar raya menerusi pilihan raya kerajaan tempatan.
Jelas beliau, struktur pentadbiran sedia ada melibatkan terlalu banyak unit, dengan ibu negara pada masa ini ditadbir secara serentak oleh seorang datuk bandar, ahli-ahli Parlimen serta penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Jika saya datuk bandar, nasihat siapa yang perlu saya dengar? Adakah saya perlu mendengar ahli Parlimen yang dipilih, penasihat DBKL atau ahli majlis bandar raya?” katanya seperti dipetik dalam temu bual bersama China Press.