U Mobile lancar platform neutral EIP, sasar jadi pemangkin pendigitalan negara

Iklan
Pasukan Pengurusan Kanan U Mobile bersama rakan kerjasama terlibat bagi perlaksanaan program neutral EIP.

PENYEDIA rangkaian 5G terbaharu di Malaysia, U Mobile menyasarkan untuk menjadi pemangkin dalam perjalanan pendigitalan Malaysia menerusi pelancaran platform neutral Enterprise Innovation Platform (EIP) yang menghimpunkan perusahaan dan inovator bagi membangunkan penyelesaian berasaskan 5G-Advanced (5G-A) serta kecerdasan buatan (AI).

Inisiatif terbabit diwujudkan sebagai persekitaran terbuka yang membolehkan perusahaan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat pemula niaga, institusi akademik serta agensi sektor awam membangun dan mengkomersialkan idea teknologi 5G-A, bukti konsep serta projek perintis.

Iklan
Iklan

Rangka kerja kerjasama EIP pula berteraskan pendekatan Develop, Test and Demonstrate, manakala hab fizikal inovasi dan makmal ujian EIP dijadual dilancarkan pada Julai 2026.

Pada masa sama, U Mobile mengumumkan lapan rakan ekosistem pertama bagi menyokong pelaksanaan EIP, sekali gus memperkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan inovasi digital.

Iklan

Rakan penambat terlibat terdiri daripada Amazon Web Services, Huawei Malaysia, Palo Alto Networks dan Qualcomm yang menyediakan teknologi asas serta keupayaan teras untuk menyokong hab inovasi EIP.

Sementara itu, rakan teknologi merangkumi Braintree Technologies, China Mobile International Malaysia, Meraque Group dan ZTE Malaysia yang membawa kepakaran aplikasi serta penyelesaian khusus industri bagi mempercepat pembangunan kes penggunaan perusahaan.

Iklan

Ketua Pegawai Teknologi U Mobile, Woon Ooi Yuen berkata, inovasi menjadi pemacu utama kemajuan teknologi dan pelancaran EIP selari dengan usaha syarikat memperluas penggunaan penyelesaian 5G-A serta AI.

Menurutnya, hab fizikal EIP yang bakal beroperasi pada Julai tahun ini akan menyediakan persekitaran neutral yang boleh dimanfaatkan semua pihak, termasuk organisasi yang bukan pelanggan sedia ada U Mobile.

“Melalui EIP, perusahaan boleh memanfaatkan kepakaran, alat dan pengetahuan rakan strategik kami untuk membangun, menguji dan mengkomersialkan penyelesaian baharu.

"Rakan yang diperkenalkan terdiri daripada pemimpin teknologi global dan tempatan yang menjadi permulaan kepada rangkaian kerjasama lebih besar, dengan senarai tersebut dijangka terus berkembang selaras keperluan inovasi semasa," katanya.

Beliau berkata, U Mobile yakin EIP mampu memainkan peranan sebagai pemangkin serta menyokong aspirasi digital dan AI negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Hab EIP akan dilengkapi makmal inovasi bersepadu yang menyediakan akses 5G-A, awan dan edge, makmal peranti Internet Kebendaan (IoT), zon rangkaian persendirian serta zon demonstrasi langsung.

Ia turut menawarkan pelbagai peralatan seperti simulator penghirisan rangkaian, persekitaran digital kembar dan kit realiti terimbuh/realiti maya bagi memastikan penyelesaian inovasi atau kes ujian dapat disahkan serta dilaksanakan dalam persekitaran sebenar.