Gudang terbakar: Lebih 15,000 kotak limau mandarin musnah

Iklan
Gudang yang terbakar beroperasi lebih 40 tahun dan menjadi pusat pengedaran bekalan bawang dan buah-buahan import di Kelantan.

KOTA BHARU – Lebih 15,000 kotak limau mandarin yang baru tiba untuk pasaran Tahun Baharu Cina musnah dalam kebakaran gudang pemborong dan peruncit buah-buahan import serta bawang yang terbakar dalam kejadian di Jalan Kebun Sultan di sini pada Ahad.

Kebakaran kira-kira jam 9 malam itu membabitkan gudang berkeluasan kira-kira 2,000 meter persegi yang turut memusnahkan bawang selain pelbagai stok buah-buahan import lain termasuk kurma, oren, epal, anggur, kiwi, strawberi dan ceri yang dibekalkan dari Australia, New Zealand serta Amerika Syarikat.

Iklan
Iklan

Pengurus gudang, Hong Lee Feng berkata, kebakaran itu menyebabkan kerugian besar kerana banyak kontena bekalan baharu baru sahaja tiba, termasuk limau mandarin untuk sambutan Tahun Baharu Cina selain stok bawang dan kurma bagi persiapan Ramadan serta Aidilfitri.

“Semua sekali limau 19,200 kotak atau 76.8 tan metrik sampai dengan tiga kontena dari pembekal di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur sejak bulan lepas.

Iklan

“Limau-limau ini, stok Tahun Baharu Cina untuk lebih 30 pasar raya sekitar Kelantan, ada yang sudah dibekalkan tetapi masih banyak yang ada dalam gudang dan terbakar,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Menurutnya, beliau hanya menyedari kejadian itu selepas dihubungi orang awam ketika berada di rumah.

Iklan

“Saya balik kerja jam 8 malam, sekitar 9 malam, ada orang telefon beritahu ada kebakaran di sebelah kilang.

“Apabila sampai, api sudah marak, tak sempat nak selamatkan buah dan bawang,” katanya.

Menurutnya, kesemua buah-buahan ditempatkan dalam enam bilik sejuk di gudang berkenaan.

Lee Feng berkata, gudang yang beroperasi lebih 40 tahun itu menjadi antara pusat pengedaran bekalan bawang dan buah-buahan import ke seluruh Kelantan.

Katanya, gudang berkenaan menggaji 20 orang pekerja, kebiasaannya ditutup sekitar jam 8 malam dan ketika kejadian, tiada pekerja berada di dalam premis.

“Buah ditempatkan dalam enam bilik sejuk dalam gudang.

“Ada beberapa lori penghantaran dan dua unit forklift bernilai lebih RM1,000 seunit, jumlah rugi belum tahu,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Penguasa Kanan Bomba II Mohd Fadhlizil Ikram Ahmad Pauzi memaklumkan operasi pemadaman berdepan kesukaran apabila rak barangan di dalam gudang runtuh, sekali gus menyukarkan pasukan bomba untuk memasuki premis dan mengakses bahagian belakang bangunan.

“Kami terpaksa menggunakan jentera tangga hidraulik bagi membolehkan kerja pemadaman dilakukan dari atas bumbung.

“Kebakaran menyebabkan 100 peratus barangan di dalam gudang hangus terbakar, manakala beberapa kenderaan termasuk dua lori dan dua motosikal turut musnah,” katanya.

Tambahnya, punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.