Inkues Zara Qairina: Ibu pelajar A beri keterangan di Mahkamah Koroner hari ini

Iklan
Prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir hari ini mendengar keterangan daripada ibu Pelajar A.

KOTA KINABALU – Prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir bersambung semula di Mahkamah Koroner di sini pada Isnin dengan mendengar keterangan daripada ibu Pelajar A.

Pelajar A merupakan antara lima remaja yang didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak berkaitan kes kematian Zara Qairina.

Iklan
Iklan

Ibu Pelajar A ialah saksi ke-62 yang dipanggil memberikan keterangan dalam inkues ini, yang telah memasuki hari ke-59.

Mahkamah, dalam pada itu turut menetapkan Jumaat ini sebagai lawatan locus in quo ke tempat kejadian, iaitu bangunan asrama sekolah berkenaan di Papar.

Iklan

Untuk rekod, setakat ini seramai 61 saksi termasuk kanak-kanak telah dipanggil untuk memberikan keterangan di mahkamah.

Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 16 Julai tahun lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth, di sini.

Iklan

Pasukan peguam yang mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat, ialah Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James.

Peguam bagi bapa Zara Qairina, Mahathir Mohd Hashim, ialah Sherzali Herza Asli, Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip dan Clarice Vyonne Conrad.

Peguam bagi Pelajar A ialah Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan, manakala empat lagi pelajar diwakili oleh Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah dan Sylvester Kuan.

Pasukan pegawai pengendali terdiri daripada Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Nahra Dollah, serta Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia S. Sawayan dan Dacia Jane Romanus.