BINTANG sensasi Liverpool, Mohamed Salah kehilangan hampir separuh daripada pendapatan lumayannya sepanjang 12 bulan lalu semata-mata untuk membayar cukai.
Menurut laporan Sunday Times Tax List, ikon Anfield yang menerima gaji £400,000 (kira-kira RM2.2 juta) seminggu itu telah membayar cukai berjumlah £14.5 juta (RM78.23 juta) pada tahun lalu.
Jumlah tersebut meletakkan Salah sebagai pemain bola sepak kedua tertinggi membayar cukai dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dan menduduki tangga ke-81 pembayar cukai tertinggi di seluruh United Kingdom.
Walaupun pendapatan tahunan Salah dianggarkan mencecah £31 juta (RM167 juta) hasil daripada gaji, hak imej dan bonus, sebahagian besar wang tersebut tidak masuk ke poketnya.
Pendedahan ini hadir ketika Salah sedang melalui musim yang mencabar di Anfield.
Sebelum ini, dia digugurkan daripada skuad Liga Juara-Juara menentang Inter Milan pada Disember selepas mendakwa hubungannya dengan pengurus, Arne Slot sudah tamat dan berasa dirinya dianiaya.
Bagaimanapun, Salah kembali menyertai skuad selepas mengadakan perbincangan dengan Slot dan memohon maaf kepada rakan sepasukan.
Namun, spekulasi perpindahan ke Liga Pro Saudi terus bertiup kencang. Faktor kewangan dilihat menjadi motif utama, memandangkan Arab Saudi tidak mengenakan cukai pendapatan ke atas gaji pemain bola sepak berbanding cukai 45 peratus di England bagi pendapatan melebihi £125,000.
Sementara itu, penyerang Manchester City, Erling Haaland menduduki tangga teratas senarai tersebut dengan menyumbang £17 juta (RM91.7 juta) kepada kewangan awam UK.
Pemain Norway itu dilaporkan menerima gaji asas £500,000 (RM2.7 juta) seminggu.