'Krisis FAM diharap tidak luntur semangat peminat bola sepak negara' - Mohammed Taufiq

Iklan
Mohammed Taufiq yakin semangat rakyat Malaysia terhadap sukan bola sepak tidak luntur.

KRISIS yang melanda Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) diharap dapat diselesaikan dengan baik, sekali gus mengembalikan kepercayaan dan persepsi rakyat terhadap sukan bola sepak negara.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, di sebalik isu yang berlaku, beliau yakin semangat rakyat Malaysia terhadap sukan itu tidak luntur susulan krisis berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, usaha berterusan perlu digerakkan bagi mengembalikan kepercayaan serta persepsi rakyat terhadap bola sepak negara yang sebelum ini menjadi antara sukan paling mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Malaysia.

“Saya berharap agar semangat rakyat Malaysia terhadap sukan bola sepak kita tidak luntur dan kita mampu mengembalikan kepercayaan serta persepsi rakyat terhadap bola sepak negara.

Iklan

“Sukan bola sepak merupakan antara sukan yang diminati ramai, jadi saya berharap FAM dapat menyelesaikan isu ini dengan baik, teratur, tertib dan penuh hikmah,” katanya.

Beliau mengulas perkembangan semasa membabitkan FAM yang kini menjadi perhatian umum, sekali gus menuntut langkah penyelesaian menyeluruh demi masa depan bola sepak negara.

Iklan

Mohammed Taufiq ditemui ketika meninjau sambutan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniya Swami Devasthanam, Jalan Kuala Ketil di sini pada Ahad.

Terdahulu, FAM mengumumkan bahawa semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif bagi penggal 2025–2029 secara kolektif telah meletakkan jawatan berkuat kuasa serta-merta.

Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, sebelum ini menjelaskan keputusan itu dibuat secara sebulat suara dengan mengambil kira tanggungjawab organisasi serta tanpa kepentingan atau jawatan peribadi.