Lelaki warga asing dicekup, cuba sogok pegawai polis

Iklan
Fadil Marsus

KUALA LUMPUR – Cubaan seorang lelaki warga asing menyogok pegawai polis ketika didapati tidak memiliki lesen memandu serta dokumen pengenalan diri yang sah mengundang padah apabila ditahan ketika pemeriksaan di Jalan Suasa 6, Sungai Besi, Cheras di sini pada Ahad.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 4.07 pagi.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3 pagi ketika seorang pegawai polis berusia 47 tahun sedang menjalankan tugas pemeriksaan jalan raya di lokasi berkenaan.

"Pemeriksaan ke atas sebuah motosikal yang ditunggang suspek mendapati lelaki warga asing berusia 24 tahun itu gagal mengemukakan lesen memandu kelas B2 serta dokumen pengenalan diri yang sah.

Iklan

"Suspek kemudian cuba memberi wang sogokan kepada pegawai polis terbabit sebagai balasan supaya tidak dikenakan tindakan undang-undang,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Katanya, pegawai polis terbabit telah memberi amaran tegas supaya suspek tidak melakukan perbuatan rasuah tersebut.

Iklan

"Bagaimanapun, suspek enggan mematuhi arahan sebelum ditahan dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1969/63," katanya.

Menurutnya, suspek direman 14 hari bermula 2 Februari hingga 15 Februari 2026 untuk siasatan lanjut.