Pemasangan CCTV di semua stesen minyak di negeri sempadan bermula tahun ini - KPDN

Iklan
Azman (dua,kanan) melihat seorang pengguna menikmati kemudahan BUDI95 semasa sesi lawatan kerja beliau di sebuah stesen minyak di Rantau Panjang pada Ahad.

RANTAU PANJANG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memulakan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di semua stesen minyak di negeri-negeri sempadan bermula tahun ini sebagai langkah agresif membanteras ketirisan serta kegiatan penyeludupan barangan kawalan, khususnya petrol RON95.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, penggunaan teknologi pemantauan itu diyakini mampu membongkar taktik sindiket yang disyaki beroperasi dengan kerjasama pihak tertentu di lokasi berisiko tinggi.

Iklan
Iklan

“Macam mana seorang individu boleh menyedut atau mengisi petrol sehingga 40 tong jerikin jika tidak ada kerjasama daripada pihak-pihak tertentu.

“Oleh sebab itu, teknologi seperti pemasangan CCTV dan penggunaan data akan menjadi asas penting untuk membantu siasatan serta tindakan penguatkuasaan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja rasmi di sini pada Ahad.

Iklan

Menurut beliau, pemasangan CCTV itu akan dilaksanakan dengan kerjasama pihak industri dan dikawal selia sepenuhnya oleh KPDN bagi memastikan rakaman boleh digunakan sebagai bahan bukti.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata KPDN juga telah melengkapkan pemasangan papan tanda larangan import dan eksport barangan kawalan di semua pintu masuk dan keluar negara termasuk Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).

Iklan

“Papan tanda amaran ini memaparkan dengan jelas larangan pembelian RON95 oleh warga asing serta larangan membawa keluar minyak masak paket dan barangan kawalan lain.

“Ia lengkap dengan gambar dan maklumat supaya sesiapa sahaja yang masuk atau keluar negara tahu apa yang tidak boleh dibawa keluar dari Malaysia,” katanya.

Menurut beliau, pemasangan papan tanda berkenaan telah siap sepenuhnya di seluruh negara pada Januari lalu dan merupakan inisiatif awal sebelum pelaksanaan pemantauan berteknologi tinggi.

Beliau menegaskan, gabungan papan tanda amaran dan pemasangan CCTV dijangka menutup sepenuhnya ruang manipulasi sindiket penyeludupan yang selama ini mengambil kesempatan di kawasan sempadan.

“KPDN tidak lagi hanya bergantung kepada pemeriksaan fizikal semata-mata, sebaliknya beralih kepada penguatkuasaan berasaskan bukti dan teknologi,” katanya.