Buka pintu terus nampak kubur

Iklan
Tanah Perkuburan Cik Siti Wan Kembang dianggap unik dan sering menarik perhatian ramai.

KOTA BHARU - Berkeluasan 7.3 hektar dan panjang kira-kira dua kilometer, Tanah Perkuburan Islam Banggol, Kota Bharu di sini yang dipercayai berusia ratusan tahun sering dijolokkan sebagai tanah perkuburan terpanjang di Asia Tenggara.

Namun dalam kalangan penduduk setempat, kawasan itu lebih dikenali sebagai Tanah Perkuburan Cik Siti Wan Kembang berdasarkan kepercayaan dan cerita turun-temurun orang lama yang menyatakan terdapat makam Cik Siti Wan Kembang di situ.

Iklan
Iklan

Tanah perkuburan berkenaan dianggap unik dan sering menarik perhatian ramai kerana bukan sahaja melibatkan tanah wakaf awam seluas 4.9 hektar di bawah pengurusan rasmi Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), malah turut merangkumi kawasan tanah perkuburan milik persendirian kira-kira 2.4 hektar.

Muhammad Ammar

Iklan

Tanah perkuburan persendirian itu dapat dilihat dengan jelas kerana lengkap berpagar, mempunyai hiasan tanaman dan dijaga oleh penjaga yang diupah khas.

Menurut Imam Tua Masjid Sultan Ismail Petra, Muhammad Ammar Azlan, tanah persendirian tersebut dimiliki oleh ratusan keluarga dan dijaga dengan baik oleh pemilik masing-masing.

Iklan

“Kawasan itu siap berpagar, mempunyai petak tersendiri serta nama pemilik, malah terdapat kubur yang terletak berhampiran kediaman penduduk.

“Ada rumah yang betul-betul bersebelahan dengan kubur. Buka sahaja pintu rumah memang jelas kelihatan pusara.

"Penduduk di sini sudah membesar dalam suasana itu dan menganggapnya sebagai sebahagian daripada kehidupan mereka,” katanya kepada Sinar Ahad.

Mengulas dakwaan gelaran ‘terpanjang di Asia Tenggara’, beliau menjelaskan ia hanyalah jolokan yang diberikan oleh masyarakat umum apabila tanah perkuburan berkenaan bukan sahaja dikunjungi penduduk setempat, malah pelawat dari dalam dan luar negara.

Dalam kalangan penduduk setempat, ia dikenali sebagai Tanah Perkuburan Cik Siti Wan Kembang berdasarkan kepercayaan dan cerita turun-temurun orang lama yang menyatakan terdapat makam Cik Siti Wan Kembang di kawasan berkenaan.

Muhammad Ammar berkata, tanah perkuburan di bawah pengurusan Masjid Sultan Ismail Petra Mukim Banggol itu turut menjadi lokasi persemadian ramai tokoh ulama besar Kelantan.

Antara yang dikebumikan di situ ialah bekas Mufti Kelantan, Allahyarham Datuk Ahmed Maher; Allahyarham Datuk Mohd Noor Ibrahim; serta Allahyarham Abdul Samad Muhammad Salleh atau lebih dikenali sebagai Tuan Tabal, guru kepada Tok Kenali, ulama terkemuka negeri ini.

“Tanah perkuburan ini dipercayai telah wujud sejak ratusan tahun lalu. Kepercayaan itu disokong oleh cerita penduduk berusia sekitar 80 tahun yang menyatakan ketika mereka berumur 10 tahun, tanah perkuburan tersebut sudah pun dianggap berusia ratusan tahun.

“Selain keluasan, usia serta sejarah, terdapat satu lagi perkara yang sering menimbulkan rasa kagum dan keinsafan dalam kalangan mereka yang terlibat secara langsung menguruskan kawasan perkuburan tersebut,” katanya.

Muhammad Ammar yang mempunyai lebih 10 tahun pengalaman menguruskan Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol berkata, sepanjang tempoh itu beliau menyaksikan sendiri beberapa kejadian luar biasa berkaitan jasad jenazah.

“Hampir ribuan mayat telah dikebumikan di sini. Dalam tempoh 10 tahun ini, saya sendiri melihat beberapa keistimewaan orang yang meninggal dunia. Ada jasad yang tidak hancur walaupun sudah puluhan tahun dikebumikan,” katanya.

Beliau berkata, kebesaran Tuhan itu dapat dilihat semasa proses menggali kubur lama bagi pengebumian baharu berhampiran kubur ahli keluarga, apabila penggali menemui kain kafan dan jasad yang masih tidak hancur walaupun telah lama dikebumikan, dengan lebih 10 kes direkodkan setakat ini.

“Apabila diselidik latar belakang si mati dengan ahli keluarga, kebanyakannya adalah penghafaz al-Quran, tok guru al-Quran atau tok guru pondok. Walaupun telah puluhan tahun meninggal dunia, ALLAH SWT memuliakan jasad mereka,” ujarnya.

Beliau menegaskan kejadian tersebut bukan untuk dibanggakan, sebaliknya menjadi peringatan dan pengajaran kepada yang masih hidup tentang kebesaran ALLAH SWT serta kelebihan ilmu dan amalan.