GEORGE TOWN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang akan memanggil beberapa individu berkaitan bagi membantu siasatan berhubung kes salah guna kuasa membabitkan seorang pegawai kanan kerajaan negeri dalam urusan pembelian tanah menggunakan dana zakat.
Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk S Karunanithy berkata, pihaknya akan merakamkan keterangan individu terbabit dalam masa terdekat bagi melengkapkan kertas siasatan.
“SPRM akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.
“Kita akan memanggil beberapa individu untuk dirakam percakapan bagi melengkapkan kertas siasatan berkaitan kes salah guna kuasa dalam urusan pembelian tanah menggunakan dana zakat,” katanya selepas mengadakan lawatan di panthel sempena sambutan Thaipusam di Jalan Kebun Bunga pada Ahad.
Terdahulu, SPRM Pulau Pinang telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa membabitkan seorang pegawai kanan kerajaan negeri dalam urusan pembelian tanah menggunakan dana zakat.
Menurut sumber, kertas siasatan tersebut dibuka susulan pendedahan yang dilakukan oleh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada hujung tahun lalu.
Pada Ahad lalu, aktivis Pembela Tanah Air (Peta), Chegubard atau nama sebenarnya, Badrul Hisham Shaharin berkongsi kenyataan seorang penyelaras Peta, Azam Melaka berkaitan dakwaan penyelewengan wang zakat di sebuah negeri.
Susulan itu, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menafikan tohmahan berkenaan dan menegaskan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba menyebarkan fitnah berkaitan isu bantuan khas asnaf serta perolehan tanah seperti yang tular di media sosial.
Setiausaha MAINPP, Datuk Rosidi Hussain berkata, dakwaan, polemik dan fitnah yang ditularkan, terutama yang mengaitkan Mohamad dalam isu berkenaan, dilihat berniat jahat bagi menjejaskan imej institusi MAINPP.
Beliau turut menolak sekeras-kerasnya tohmahan terhadap Mohamad dan menegaskan institusi itu tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam kedua-dua isu yang ditularkan.