PASIR PUTEH - Realiti baharu penyeludupan pendatang tanpa izin terbongkar apabila siasatan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan mendapati pendatang yang dibawa masuk melalui perairan Kelantan telah mempelajari bahasa Melayu di negara asal bagi memudahkan pergerakan mereka di Malaysia.
Pengarah APMM Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, dapatan itu mencerminkan kewujudan sindiket terancang yang kini beroperasi dengan pengaturan lebih rapi dan sofistikated merentas sempadan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemasukan pendatang ke negara ini bukan berlaku secara rawak, sebaliknya diuruskan oleh sindiket yang menyediakan persiapan awal sebelum mereka dibawa masuk.
"Mereka telah belajar bahasa Melayu di negara asal (Myanmar), menunjukkan persiapan rapi sebelum dibawa masuk ke Malaysia. Perkara ini menguatkan kepercayaan bahawa terdapat sindiket yang mengurus kemasukan mereka,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata, kebanyakan pendatang yang dibawa masuk lazimnya tidak bergerak jauh sebaik tiba, tetapi akan memasuki sungai-sungai kecil, kawasan semak serta lokasi terpencil sebelum dijemput menggunakan kenderaan darat.
Erwan Shah berkata, pihaknya tidak menafikan kewujudan aktiviti penyeludupan yang sentiasa berubah-ubah mengikut peredaran masa dan kemajuan teknologi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
"Modus operandi penyeludup kini semakin licik…kita mengesan penyeludup menggunakan dron untuk memantau kawasan dan meninjau pergerakan pasukan penguat kuasa, selari dengan penggunaan teknologi oleh pihak penguat kuasa sendiri termasuk peralatan penglihatan malam,” katanya.
Taktik penyeludup kini katanya, semakin kompleks termasuk penggunaan bot kecil secara berperingkat dan pemantauan awal sebelum pendaratan, dengan perairan di sempadan Kelantan-Terengganu dikenal pasti sebagai antara kawasan tumpuan pencerobohan bot nelayan asing berdasarkan pola tangkapan yang direkodkan APMM.
"Kebanyakan pencerobohan dikesan berlaku berhampiran hujung sempadan kedua-dua negeri itu kerana lokasi berkenaan memudahkan bot asing berundur dengan pantas ke kawasan kawalan mereka sekiranya dikesan pihak berkuasa.
"Berdasarkan rekod tangkapan, bot nelayan asing biasanya berada kira-kira 120 hingga 130 batu nautika dan bergerak rapat di sempadan Kelantan-Terengganu, menunjukkan mereka berhati-hati dan sentiasa bersedia untuk melarikan diri,” katanya.
Erwan Shah berkata, bot nelayan asing lazimnya bergerak pada kelajuan rendah kira-kira lapan knot, manakala aset maritim mampu mencapai kelajuan antara 15 hingga 18 knot, sekali gus membolehkan usaha mengejar dan menahan dilakukan sekiranya dikesan lebih awal.
Beliau berkata, kebanyakan operasi dan tangkapan dilaksanakan pada waktu malam berikutan pergerakan bot asing lebih aktif pada tempoh berkenaan, berbanding waktu siang.
Mengulas tentang tindakan terhadap kru bot asing yang ditahan, APMM memaklumkan, individu terbabit akan disiasat dan ditahan sebelum dibawa ke mahkamah, dan sekiranya diperintah usir, mereka akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk proses pengusiran ke negara asal.- Bernama